Petisyen ditolak, calon PN kekal Ahli Parlimen Kemaman

Che Alias - Foto Facebook Che Alias Hamid
Che Alias - Foto Facebook Che Alias Hamid
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid kekal menyandang kerusi itu selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini pada Ahad menolak petisyen difailkan Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Setiausaha Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi (Luham) Pas Pusat, Ahmad Lufti Awang dalam kenyataan pada petang Ahad berkata, Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu selepas membatalkan dengan kos RM30,000 terhadap petisyen pilihan raya difailkan pempetisyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.

Prosiding bagi kes itu dijalankan secara dalam talian jam 3 petang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, di sini.

Menurutnya, Mohamad Abazafree berpuas hati dengan satu daripada empat isu bantahan awal yang dikemukakan oleh peguambela responden, berkaitan dengan fakta-fakta yang diplidkan untuk menyokong dakwaan sogokan dan rasuah piliha raya yang terkandung dalam petisyen sebagai cacat, defektif dan tidak sah.

Ia kerana, daripada tujuh program rasmi yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Terengganu iaitu Bantuan i-Belia, i-Siswa dan sumbangan kepada orang kurang upaya (OKU) dan asnaf tidak mengandungi butiran rasuah atau sogokan seperti tiada ejen responden, tiada maklumat penerima, tiada fakta yang menunjukkan penerima adalah juga pengundi berdaftar, tiada butiran ucapan exco yang boleh dianggap menyumbang kepada perlakuan rasuah atau sogokan.

Jelas kenyataan itu, berdasarkan keputusan mahkamah, dakwaan sogokan atau rasuah adalah bersifat quasi-criminal (separa jenayah), justeru penting bagi pempetisyen memplidkan butiran fakta yang lengkap, terperinci dan sempurna agar responden diberikan keadilan yang seluas-luasnya berdasarkan maklumat lengkap untuk menjawab dan membela diri dari pertuduhan tersebut.

Kecacatan petisyen pempetisyen dalam membekalkan fakta-fakta berkenaan tidak boleh dikompromikan bagi memastikan keadilan dalam perbicaraan.

Justeru, petisyen tidak wajar dibenarkan melalui proses perbicaraan dalam keadaan pempetisyen sendiri samar dengan dakwaan sogokon atau rasuah pilihan raya.

Bagaimanapun, pempetisyen mempunyai peluang dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan itu untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Che Alias diwakili peguam Saifuddin Othman, Wan Rohimi Wan Daud dan Mohd Nasir Embong sementara Wan Mohamad Hisham diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, Amin Othman, Mohamed Baharudeen dan Norhazira Abu Haiyan.