86 koperasi terima bantuan RM1.4 juta

Amran menunjukkan Sijil Halal yang diterima daripada Restoran Nik Yea. (Kanan: Nik Azharuddin)
Amran menunjukkan Sijil Halal yang diterima daripada Restoran Nik Yea. (Kanan: Nik Azharuddin)
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 86 koperasi di seluruh negara sudah menerima bantuan kecemasan melibatkan nilai keseluruhan RM1.4 juta.

Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar dan Pembangunan), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Amran Abd Kadir berkata, 90 peratus daripada bantuan itu membabitkan bencana banjir.

Menurutnya, SKM menerima 98 permohonan tahun lalu melibatkan koperasi yang menjalankan aktiviti pertanian, perladangan dan penternakan.

"SKM memperuntukkan bantuan maksimum sebanyak RM30,000 untuk setiap koperasi yang terjejas akibat bencana dan kecemasan lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan dan Perasmian Restoran Nik Yea di Jalan Merbau pada Ahad.

Amran memberitahu, SKM turut berdepan kekangan untuk mengagihkan bantuan kerana masih ada koperasi yang lewat menghantar permohonan dalam tempoh masa enam bulan yang ditetapkan

Tambah beliau, setiap permohonan perlu ada laporan polis dan pengesahan pihak berkuasa bagi mengelakkan penipuan.

"Kita juga berusaha memudahkan proses permohonan supaya setiap koperasi menerima bantuan dengan lebih cepat," katanya.

Amran pada masa sama turut menggalakkan ahli di seluruh negara menyokong koperasi dengan membeli barangan di koperasi kerana ada harga yang ditawarkan lebih murah daripada pasaran.

"Banyak koperasi kini menyediakan keperluan dan barang basah pada harga rendah sesuai dengan penyediaan Menu Rahmah yang disarankan kerajaan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Keluarga Hajah Nik Meriam Kota Bharu Berhad, Nik Azharuddin Nik Abdullah berkata, Restoran Nik Yea turut menyediakan Menu Rahmah untuk makan tengah hari.

"Penyediaan Menu Rahmah ini sebagai menyahut seruan kerajaan membantu mereka yang memerlukan. Kami menyediakan banyak menu lazat pada harga bawah RM5 dan set makan hanya RM5 termasuk air," katanya.