Gempa bumi: Malaysia hantar 142 anggota, dua anjing K9

Kemusnahan akibat gempa bumi melanda di Turkiye. - Foto Xinhua
Kemusnahan akibat gempa bumi melanda di Turkiye. - Foto Xinhua
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia setakat ini telah menghantar 142 anggota penyelamat serta dua ekor anjing pengesan (K9) bagi menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye.

Wisma Putra dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan anggota terbabit terdiri daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta Angkatan Pertahanan Awam (APM), manakala serta K9 adalah milik JBPM.

"Hasil kerjasama rapat antara semua agensi kerajaan dengan perwakilan Malaysia di Ankara dan Istanbul, pasukan Malaysia yang diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menjadi antara SAR terawal tiba di lokasi kejadian iaitu di Gaziantep.

"Pasukan penyelamat Malaysia juga merupakan pasukan SAR pertama dari negara ASEAN yang tiba di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, antara kejayaan besar pasukan Malaysia adalah penemuan lima mangsa yang terselamat walaupun selepas lebih 129 jam (lima hari) kejadian gempa bumi berlaku.

Selain itu, Wisma Putra turut memaklumkan Malaysia telah membuka Hospital Medan Malaysia (HMM) kategori tiga di Celikhan, Adiyaman, yang dikendalikan ATM.

Kenyataan itu menyebut, dua pesawat A400 milik Tentera Udara Diraja Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Gaziantep pada Jumaat lepas, setelah melalui penerbangan selama 15 jam dengan membawa peralatan melebihi 30 tan serta 38 anggota teknikal.

"Tujuh puluh orang lagi iaitu anggota perubatan pelbagai pangkat daripada ATM berangkat melalui penerbangan Turkish Airlines pada 10 dan 11 Feb dengan membawa peralatan tambahan seberat 8.8 tan,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra memaklumkan tiga pegawai SMART telah diberi tugasan awal oleh Agensi Bencana Alam Turkiye untuk mengendalikan Reception Departure Centre (RDC) iaitu mengkoordinasi urusan kemasukan pasukan SAR dari negara lain di Lapangan Terbang Adana.

Penugasan di RDC adalah berdasarkan mekanisme dan garis panduan yang telah ditetapkan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG).

"Sebagai antara pasukan pertama yang tiba, pasukan bantuan Malaysia menjadi rujukan untuk membantu agensi bencana tuan rumah dan Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk Hal Ehwal Kemanusiaan (UN OCHA) sebagai pegawai pengendali RDC sehingga diganti pasukan yang tiba kemudian,” menurut Wisma Putra.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan maklum balas daripada pasukan Malaysia di Gaziantep, terdapat beberapa barangan yang amat diperlukan mangsa terselamat iaitu khemah musim sejuk, selimut tebal, pemanas, bilik mandi dan tandas mudah alih, beg tidur serta kontena untuk tempat tinggal sementara.

Rakyat Malaysia dialu-alukan untuk menyumbang menerusi Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri dengan menyalurkan sumbangan ke akaun bank 1054 9000 0599, Affin Islamic Bank Berhad, cawangan Putrajaya.

Sumbangan yang dibuat layak untuk dituntut sebagai sumbangan pengecualian daripada cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas meragut ribuan nyawa, dengan kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Angka kematian akibat gempa bumi di selatan Turkiye meningkat kepada sekurang-kurangnya 7,108 orang, manakala jumlah mangsa yang cedera 40,910 setakat ini. - Bernama