Anjing K9 bomba bantu operasi SAR di Turkiye

Nor Hisham bersama Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.
Nor Hisham bersama Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.
A
A
A

SEPANG - Empat ekor anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut dihantar membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye pada Isnin.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menghantar anjing K9 yang dikenali sebagai Pop, Frankie Denti dan Grouse untuk membantu operasi SAR di negara dilanda bencana tersebut.

"Kesemua anjing K9 itu juga pernah terlibat dalam operasi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, pada 16 Disember lalu," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Isnin.

Nor Hisham berkata, seramai enam anggota dan pegawai akan mengendalikan haiwan-haiwan tersebut.

"Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Menyelamat (JBPM) turut membantu operasi SAR di Turkiye," ujarnya.

Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye berhampiran bandar Gaziantep telah meragut 1,498 nyawa, manakala 8,533 lagi cedera dan 2,834 bangunan dilaporkan musnah.