Gempa bumi: Hantar SMART, bukti hubungan baik Malaysia-Turkiye

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pantas Malaysia menghantar bantuan bagi menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye membuktikan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau berharap bantuan yang diberikan itu dapat meringankan beban pasukan penyelamat negara berkenaan.

Beliau juga melahirkan rasa syukur apabila 12 orang rakyat Malaysia yang berada di negara terbabit dilaporkan selamat.

"Tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kerana bertindak pantas menghantar 75 anggota untuk membantu usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi.

"Ini adalah bukti hubungan baik di antara kedua-dua negara. Doa dan harapan saya agar kesemua mangsa dapat diselamatkan dan semoga bantuan yang diberikan oleh seluruh negara dapat meringankan beban pasukan penyelamat Turkiye.

"Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana mendapat laporan 12 rakyat Malaysia yang berada di sana terselamat," katanya menerusi hantaran di Instagram.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menzahirkan ucapan takziah kepada kerajaan Turkiye dan Syria berhubung kejadian berkenaan.

"Saya juga difahamkan dua gempa bumi berskala besar berukuran 7.8 dan 7.5 magnitud telah menggegarkan wilayah Kahramanmaras dan beberapa wilayah kejiranan termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay, dan Kilis yang mengorbankan beribu nyawa.

"Justeru, saya berharap agar keluarga mangsa yang terlibat terus cekal dan tabah dalam menghadapi dugaan ini. Salam takziah kepada kerajaan serta rakyat Turkiye dan Syria," ujarnya.