Saifuddin akan bawa suara pekerja Lynas ke Kabinet

Saifuddin mendengar penjelasan daripada Pengurus Besar Keselamatan Radiasi dan Pematuhan Lynas, Professor Dr Ismail Bahari ketika lawatan beliau ke kilang tersebut di sini, hari ini.
A
A

KUANTAN - Ahli Parlimen Indera Mahkota akan membawa suara pekerja Lynas Corporation Ltd (Lynas) dalam mesyuarat Kabinet yang tidak menyokong kilang memproses nadir bumi tersebut ditutup.

Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya akan lebih memfokuskan permasalahan yang dihadapi oleh pekerja di kilang tersebut.

Menurutnya, sebagai seorang wakil rakyat, beliau perlu terlibat dan mengetahui tadbir urus kilang memproses nadir bumi itu.

"Ketika lawatan saya di sini (Lynas) hari ini, ramai pekerja yang bertanyakan soalan dan memberikan penerangan kepada saya dalam memberi keyakinan tentang kebaikan Lynas.

"Jadi, dalam pertemuan itu, saya ambil maklum dengan apa yang disampaikan dan akan membawanya ke mesyuarat Kabinet.

"Sebagai ahli parlimen, saya harus terlibat bukan sebagai seorang saintis tetapi sebagai seorang yang terlibat urus tadbir yang perlu melihat dari semua aspek atau isu di Lynas seperti suara rakyat tempatan,” katanya kepada media selepas menghadiri sesi taklimat dan melawat kilang Lynas di Gebeng di sini, hari ini

Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Menteri Luar berkata, pihak yang terlibat dalam hujahan saintifik membabitkan kilang memproses nadir bumi itu di Gebeng memerlukan perdebatan sihat berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, langkah sedemikian amat penting dalam mencari penyelesaian berhubung isu melibatkan kilang berkenaan.

“Persoalan berhubung proses membuat keputusan berkaitan Lynas, dalam hal ini ia melibatkan banyak pihak termasuk kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan.

"Cuma dalam masa sebulan dua ini, tiada apa yang saya boleh katakan sebagai ahli parlimen dan anggota Kabinet. Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin adalah yang terbaik untuk menyatakan perkembangan berhubung kilang ini.

“Saya tidak ada hak untuk bercakap lanjut soal kilang ini dan keutamaan saya sebagai ahli parlimen adalah berjumpa dan bersua muka dengan pekerja di sini dan mendengar maklum balas mereka," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia