Batu Puteh: Singapura bersedia berbincang dengan Malaysia

Batu Puteh
Batu Puteh
A
A
A

SINGAPURA - Kerajaan Singapura bersedia berbincang dengan Malaysia berkenaan isu kontroversi tuntutan Batu Puteh.

Umum mengetahui bahawa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah menganugerahkan Batu Puteh kepada Singapura berikutan pertikaian wilayah antara kedua-dua negara.

Menteri Kedua Singapura bagi Hal Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman berkata, kerajaan kekal komited untuk menangani isu berhubungan dakwaan itu sambil memaklumkan perbincangan dengan Malaysia boleh diteruskan.

“Saya enggan bercakap terlalu banyak mengenai Batu Puteh kerana saya rasa masih banyak isu yang dibangkitkan.

“Perkara yang lebih penting adalah untuk melihatnya menerusi penghakiman ICJ dan seterusnya apakah isu yang timbul.

“Kami bersedia untuk berbincang dengan Malaysia mengenai kebimbangan mereka terhadap Batu Puteh dan terus memberi jaminan tentang apa yang berlaku di sana dan seterusnya kami boleh membawa perbincangan isu itu ke hadapan.

“Saya tidak mahu mendahului apa-apa perbincangan yang akan berlangsung,” katanya semasa ditemubual bersama akhbar Malaysia sempena Program Lawatan Wartawan ke-15, di sini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan berikutan isu tersebut kerajaan mahu penyelesaian yang mampan untuk terus bergerak ke hadapan.

Beliau turut diajukan soalan sama ada Singapura telah kembali ke ICJ untuk membincangkan isu berkenaan, Maliki berkata, mereka tidak berbuat demikian.

“Tidak (kami tidak kembali ke ICJ), saya rasa ia bergantung kepada isu yang telah dibangkitkan dan apakah tujuan yang perlu dikembalikan kepada ICJ?.

“Mengenai penghakiman ICJ, kita sudah tahu apa keputusannya.

"Kami berharap ia boleh diperbincangkan, tetapi jika perlu ada beberapa bentuk adjudikasi, maka kami akan berbincang dengan rakan sejawatan kami di Malaysia mengenai penyelesaian yang boleh kami lakukan," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar telah meminta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk meneliti perkara yang timbul daripada tuntutan itu supaya terdapat rundingan ‘bermakna’ dengan Singapura berhubung isu itu.

Anwar berkata, rundingan itu perlu dilakukan tanpa menjejaskan hubungan dua hala.