SPRM diminta telus siasat dakwaan seleweng wang zakat MAINS

Shukri (tengah) menunjukkan dokumen berkaitan dakwaan penyelewengan wang zakat MAINS. - Foto Shukri
Shukri (tengah) menunjukkan dokumen berkaitan dakwaan penyelewengan wang zakat MAINS. - Foto Shukri
A
A
A

SEREMBAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta lebih telus dalam menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan wang zakat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Rembau, Shukri Shamsudin berkata, ia disebabkan kenyataan yang agak mengelirukan daripada pihak SPRM berhubung isu itu.

“Selepas membaca pendedahan yang dibuat melalui satu saluran telegram, saya telah bertindak ke pejabat SPRM di Putrajaya untuk membuat laporan pada 7 Februari lalu, namun diberitahu tiada satu dokumen laporan mengenai kes tersebut dikesan atau diterima oleh SPRM.

"Sebaliknya SPRM Negeri Sembilan dalam satu kenyataan media pada 9 Februari pula, katanya pihak SPRM telah menerima laporan pada 2019 dan selesai menyiasat pada tahun sama dengan keputusan tiada unsur rasuah berlaku.

“Kenyataan ini mengelirukan sedangkan ia membabitkan wang zakat yang begitu besar jumlahnya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Katanya, sebagai tindakan lanjut pihaknya juga merancang untuk mengumpulkan memorandum dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi menyatakan solidariti dan sokongan akan usaha membersihkan semula imej dan maruah institusi agama Islam utama di Negeri Sembilan.

"Saya dan rakan-rakan NGO yang ada akan memantau perkembangan isu terbabit secara dekat dan tidak menolak kemungkinan akan memohon menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan Besar serta Undang Yang Empat bagi meminta campur tangan mereka," katanya.

Sinar Harian sebelum ini, melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku salah laku dan rasuah dalam MAINS.

SPRM Negeri Sembilan pula mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan pada 2019, namun hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof memberitahu kes itu masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah.

Selain itu, MAINS mengeluarkan kenyataan menafikan tohmahan dan fitnah yang disebar melalui media sosial berkenaan salah guna wang zakat di Negeri Sembilan.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat yang melibatkan jutaan ringgit.

Pihak terbabit mendakwa SPRM telah menerima maklumat berhubung perkara itu, namun sehingga kini tiada sesiapa yang ditahan.