SPRM sahkan tiada penyelewengan wang zakat MAINS

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan mengesahkan tiada sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah didapati pihaknya berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn Bhd.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan tersebut pada 2019.

Menurutnya, siasatan terhadap isu itu juga telah selesai dijalankan pada tahun sama dan berharap mana-mana pihak menghentikan sebarang spekulasi serta menyebarkan berita-berita palsu berhubung perkara berkenaan sebagaimana disiarkan dalam sebuah akaun Telegram baru-baru ini.

"SPRM Negeri Sembilan komited dalam usaha memerangi rasuah yang melibatkan dana awam di negeri ini.

"Oleh itu, siasatan lanjut akan dijalankan sekiranya terdapat maklumat baharu yang diterima," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku salah laku dan rasuah dalam MAINS.

Beliau berkata, ketika ini SPRM dan pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.