Salah laku MAINS: Aminuddin serah kepada pihak berkuasa

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku salah laku dan rasuah dalam Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains).

Menurutnya, ketika ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

"Sekarang masih dalam siasatan polis jadi kita serah kepada pihak yang menyiasat isu tersebut. Jika betul ambil tindakan, jika tidak (tiada isu salah laku dan rasuah) maklum kepada masyarakat bahawa apa yang berlaku sebenarnya.

"Kita tunggu apa keputusan mereka. Itu yang saya dapat maklumat tetapi apa yang berlaku sebenarnya (tidak tahu), sebab saya tidak lagi berada dalam Majlis Agama Islam, jadi saya tidak berapa arif mengenainya," katanya ringkas.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pasca mingguan Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai laporan pecah amanah wang kutipan zakat yang melibatkan jutaan ringgit.

Pihak terbabit mendakwa SPRM telah menerima maklumat berhubung perkara itu, namun sehingga kini tiada sesiapa yang ditahan.

Ia dipercayai disebabkan kerajaan Negeri Sembilan dan orang politik cuba melindungi apa sebenarnya yang berlaku.