JKKP siasat insiden pekerja maut disyaki jatuh tangga

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor mengeluarkan Notis Pembaikan terhadap sebuah pusat alat ganti kereta di kawasan perindustrian Hicom-Glenmarie, di sini berikutan kejadian kematian seorang pekerja yang disyaki terjatuh dari tangga di premis pusat berkenaan pada 20 Januari lepas.

Pejabat Pengarah JKKP Selangor dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan sepasukan pegawai penyiasat telah dikerah menjalankan siasatan selepas menerima maklumat mengenai kejadian pada 3.55 petang itu, yang melibatkan pekerja lelaki berumur 56 tahun, yang cedera di kepala akibat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki itu sedang menjalankan rondaan apabila dia mengesan lampu kalimantang rosak di premis itu, dan dia dikatakan cuba untuk menukar lampu berkenaan dengan memanjat tangga jenis A-frame secara berseorangan, susulan rakannya bercuti sakit.

"Bagaimanapun lelaki berkenaan disyaki terjatuh dari ketinggian 3.4 meter ketika hendak memasang penutup (cover) lampu," menurut kenyataan itu.

Lelaki berkenaan kemudiannya dibawa ke hospital untuk dirawat dan menjalani pembedahan di kepala, namun disahkan meninggal dunia pada 8 Februari lepas sekitar jam 12.14 malam.

Menurut JKKP Selangor, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan, dan pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

"JKKP Selangor akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko serta mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja," katanya. - Bernama