Sempat tangkap 100kg hasil laut sebelum ditahan

Empat nelayan Indonesia tanpa dokumen diri ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.
Empat nelayan Indonesia tanpa dokumen diri ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.
A
A
A

GEORGETOWN - Empat nelayan Indonesia ditahan bersama 100 kilogram (kg) hasil laut dipercayai diperolehi daripada tangkapan di perairan negara pada tengah hari Jumaat.

Keempat-empat nelayan asing berusia lingkungan 31 hingga 40 tahun itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang dalam Op Tanjung dan Op Pertiwi.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, empat warga asing itu ditahan ketika berada di dalam sebuah bot nelayan Indonesia pada jam 12.41 tengah hari.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati, nelayan-nelayan tersebut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia.

"Penahanan dibuat di kedudukan 34.2 batu nautika barat daya Pulau Kendi. Turut dirampas, hasil laut dan bot yang dipercayai berpangkalan di Indonesia.

"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

100 kg hasil laut turut dirampas daripada empat nelayan Indonesia tersebut.
100 kg hasil laut turut dirampas daripada empat nelayan Indonesia tersebut.

Beliau berkata, empat nelayan tersebut disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

"Pemantauan dan pemeriksaan akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan perairan negara terkawal daripada sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.

"Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang masih berdegil dan tidak akan berkompromi dengan pesalah. Kita juga memerlukan bantuan daripada orang awam dalam menyalurkan maklumat sekiranya ada jenayah di laut.

"Jika ada maklumat, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera," katanya.