Tiada masalah Melayu ramai dalam sektor awam - PM

Anwar beramah mesra bersama beberapa orang masyarakat Orang Asli ketika menghadiri Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Bernama
Anwar beramah mesra bersama beberapa orang masyarakat Orang Asli ketika menghadiri Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dominasi kaum Melayu dalam perkhidmatan awam dilihat tidak menimbulkan sebarang masalah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, gesaan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy untuk mereformasi sektor awam yang didakwa didominasi orang Melayu hanyalah sebagai pandangan peribadi.

Tambahnya, luahan yang dilontarkan Ramasamy itu tidak dikemukakan di saluran betul untuk dipertimbangkan.

Namun begitu, jelasnya, sekiranya perkara tersebut perlu dipertimbangkan, ia akan dilakukan oleh kerajaan.

“Itu pandangan peribadi, kalau kita perlu timbang, kita timbang. Tapi itu (Ramasamy) bukan pandangan DAP dan kerajaan.

“Kerana keadaan sekarang saya tidak fikir ini satu masalah. Tapi kita jangan larang orang bercakap dan beri pandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MyFutureJobs 2023 yang diadakan di sini, pada Sabtu.

Pada Jumaat, Ramasamy menggesa Anwar untuk mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwanya didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi bangsa Cina, tidak lagi terpakai.

Ini kerana, dakwa Ramadamy, hujah berkenaan digunakan Tun Mahathir untuk menginstitusikan hegemoni Melayu dalam sektor awam, khususnya perkhidmatan awam.

Beliau turut mendakwa terdapat juga diskriminasi kaum secara rahsia apabila ia berkaitan dengan prospek kenaikan pangkat untuk bukan Melayu dalam sektor awam.