Perak mahu segera laksana ladang babi moden

Sivanesan (duduk, tengah) hadir dalam program 5KM Colour and Water Fun Run 2023 Ipoh anjuran Kelab Gabungan Kesihatan Perak( KGKP) di Dataran Hospital Bahagia Ulu Kinta pada Sabtu.
Sivanesan (duduk, tengah) hadir dalam program 5KM Colour and Water Fun Run 2023 Ipoh anjuran Kelab Gabungan Kesihatan Perak( KGKP) di Dataran Hospital Bahagia Ulu Kinta pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mahu mewajibkan pelaksanaan konsep Ladang Babi Moden (MPF) dengan segera bagi menyelesaikan isu pencemaran dan kawalan penyakit akibat haiwan tersebut.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, pelaksanaan sistem itu penting memandangkan sudah banyak aduan diterima daripada penduduk yang terkesan dengan pencemaran udara dan bau.

Menurutnya, sebelum ini arahan bagi penggunaan sistem MPF telah dikeluarkan kerajaan pada 2017, namun pelaksanaannya diberikan tempoh lanjutan sehingga kini.

"Kita tidak mahu menunggu sehingga tempoh itu (lanjutan). Kita perlu ketatkan noktah kepada kaedah biasa untuk pastikan masa depan pengoperasian ladang-ladang babi di negeri ini.

"Di Perak, ada kira-kira 87 daripada keseluruhan 115 ladang penternakan babi telah memulakan sistem MPF ini. Selebihnya sama ada mereka tutup operasi atau tukar kepada penternakan ayam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelepasan 5KM Colour and Water Fun Run 2023 Ipoh anjuran Kelab Gabungan Kesihatan Perak( KGKP) di Dataran Hospital Bahagia Ulu Kinta pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Sirajuddin Hashim.

Sivanesan berkata, sekiranya sistem itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam masa terdekat ini, Perak bakal menjadi negeri pertama menggunapakai kaedah MPF di semua operasi ladang ternakannya.

Tambahnya, satu jawatankuasa khas di peringkat kerajaan negeri telah ditubuhkan bagi membuat penyusunan semula ladang-ladang babi sedia ada ke arah sistem kandang tertutup.

"Di Pusing ada satu ladang yang diusahakan secara moden dan apabila kita buat tinjauan di situ, penduduk maklumkan tidak ada isu bau atau sisa keluar.

"Operasinya diuruskan dengan sangat baik dan itu kaedah yang sepatutnya ladang-ladang babi dikendalikan di negeri ini," ujatnya.