Premis haram bitcoin dipasang perangkap

Suruhanjaya Tenaga merampas pelbagai peralatan dalam serbuan di sebuah premis. Gambar kecil: Mohd Elmi
Suruhanjaya Tenaga merampas pelbagai peralatan dalam serbuan di sebuah premis. Gambar kecil: Mohd Elmi
A
A
A

SHAH ALAM - Anggota penguat kuasa Suruhanjaya Tenaga sering berhadapan dengan pelbagai risiko ketika melaksanakan serbuan ke atas sindiket perlombongan bitcoin yang menjalankan kegiatan mencuri bekalan elektrik.

Bukan sahaja dipantau dengan kehadiran tonto, sindiket juga memasang perangkap di pintu premis yang terlibat.

Antara kaedah perangkap yang sering digunakan oleh pihak sindiket adalah menggunakan tenaga elektrik untuk mencederakan kakitangan pihak berkuasa serta alat penyembur lada.

Ketika pintu dibuka, semburan automatik akan mengenai anggota yang bertugas.

Bagi menyukarkan lagi kegiatan curi elektrik itu dikesan, sindiket juga beroperasi di kawasan terpencil yang jauh dari penempatan penduduk.


Keadaan di dalam sebuah premis yang mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin.
Keadaan di dalam sebuah premis yang mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan kegiatan perlombongan bitcoin.

Malah, tidak dinafikan kegiatan haram itu beroperasi dengan menggunakan identiti individu lain bagi mengelak dirinya dikesan semasa menyewa premis terbabit.

Mendedahkan lebih lanjut, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan Suruhanjaya Tenaga, Mohd Elmi Anas berkata, perangkap dipasang di premis haram bitcoin bertujuan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas.

“Perangkap renjatan elektrik ini dikesan dipasang di pintu premis bertujuan mencederakan anggota yang memegang pintu.

“Kemudian, apabila pintu premis dibuka, semburan lada automatik akan menyembur terus ke muka anggota. Inilah antara risiko yang perlu diberi peringatan dan perhatian untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku ketika menjalankan setiap operasi serbuan," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mohd Elmi memberitahu, modus operandi sindiket perlombongan bitcoin itu adalah dengan cara membuat pintasan secara haram tanpa melalui meter menyebabkan ia gagal merekodkan penggunaan elektrik sebenar di premis tersebut.

Jelasnya, kebanyakan lokasi yang dipilih sindiket adalah di lot komersial yang kurang tumpuan atau terbiar, di mana penggunaan tenaga elektrik tidak tinggi bagi mengelakkan berlakunya gangguan bekalan di kawasan sekitar.


Peralatan bitcoin yang disyaki dibeli dari luar negara.
Peralatan bitcoin yang disyaki dibeli dari luar negara.

Identiti palsu

Mohd Elmi berkata, pihaknya turut mendapati premis yang disewa sindiket dan permohonan bekalan elektrik kepada pihak utiliti dibuat dengan menggunakan identiti palsu atau menyalahgunakan identiti orang lain seperti golongan orang kurang upaya (OKU) serta penjenayah.

"Premis ini beroperasi secara unmanned bagi mengelakkan daripada mudah dikesan oleh pihak berkuasa di mana ia menggunakan tenaga elektrik yang tinggi, di samping menghasilkan bunyi dan haba yang tinggi.

"Premis itu juga tidak sesuai untuk didiami, kebiasaannya pengusaha atau penjaga mesin bitcoin hanya hadir ke premis jika berlaku kerosakan pada mesin atau terdapat gangguan pada bekalan elektrik," katanya.

Tambah Mohd Elmi, suspek atau sindiket ini hanya memantau pergerakan mesin itu melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam dan sekeliling premis tersebut.

Mesin bitcoin dipercayai diimport dari luar negara atau dibeli secara dalam talian.

“Dianggarkan setiap mesin itu berharga dalam lingkungan RM3,000 hingga RM5,000 (bergantung pada kapasiti dan hash rate mesin tersebut),” ujarnya.

Beliau berkata, antara sebab kes seperti itu masih berleluasa adalah kerana terdapat permintaan yang tinggi terhadap mata wang kripto di pasaran dunia.

"Selain itu, pengusaha lombong bitcoin ini turut mendapat pulangan yang tinggi hasil daripada aktiviti ini.

"Kebiasaannya, pihak yang menjalankan kegiatan ini mempunyai modal, mudah memperoleh bekalan mesin bitcoin dan juga mempunyai rantaian pihak yang berkemahiran untuk memasang atau membaiki mesin bitcoin tersebut.

"Dalam setiap operasi yang dijalankan, kita akan menanggalkan semua sambungan haram yang dipasang dan merampas kabel-kabel dan peralatan melombong bitcoin untuk dilupuskan," ujarnya.

Serbuan

Mohd Elmi berkata, secara purata sebanyak 50 hingga 100 unit mesin akan dipasang di setiap premis.

“Sebanyak 34 serbuan telah dijalankan oleh Suruhanjaya Tenaga bersama agensi penguatkuasaan lain dan sebanyak 20 kertas siasatan dibuka sejak 2020 sehingga tahun ini.

“Bagi tahun 2022 sahaja, jumlah kerugian kepada pihak utiliti dianggarkan melebihi RM600 juta,” jelasnya.

Kata beliau, Suruhanjaya Tenaga juga menjalinkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak berkuasa tempatan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Katanya lagi, siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang mengusahakan aktiviti melombong mata wang bitcoin secara mencuri elektrik, sebelum membuat sebarang pendakwaan di mahkamah.

Beliau berkata, kes disiasat oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik, 1990 [Akta 447] dan sekiranya disabitkan kesalahan, syarikat atau individu terbabit akan berhadapan dengan hukuman tegas.

Operasi bersepadu yang dilakukan dengan pelbagai agensi.
Operasi bersepadu yang dilakukan dengan pelbagai agensi.

Denda RM1 juta

"Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

"Denda sehingga RM5 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya," katanya.

Tambah beliau, PDRM pula boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri atau Seksyen 427 akta sama atas kesalahan melakukan perbuatan khianat.

Mohd Elmi memberitahu, pihaknya akan terus berusaha membanteras kegiatan kecurian bekalan elektrik daripada berleluasa.

“Pemilik premis juga diingatkan supaya berhati-hati dan berwaspada apabila menyewakan premis kepada mana-mana pihak serta sentiasa memantau aktiviti yang dijalankan oleh penyewa," tegasnya.

Beliau berkata, kegiatan mencuri elektrik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik serta memberi ancaman keselamatan kepada orang ramai.

"Kita amat menitikberatkan aspek keselamatan elektrik di mana penguatkuasaan terus dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan serta pengguna sentiasa dilindungi daripada bahaya yang berpunca daripada tenaga elektrik.

"Suruhanjaya Tenaga memberi amaran keras kepada semua pengusaha yang menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin supaya tidak mencuri bekalan elektrik yang memberi kesan kepada pengguna dan masyarakat," katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Tenaga atau pihak utiliti pembekalan elektrik seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sekiranya mendapati berlaku apa-apa kejanggalan pada meter atau terdapatnya sambungan haram.

“Sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Suruhanjaya Tenaga di talian 03-8870 8500.

"Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman web www.st.gov.my, Facebook Suruhanjaya Tenaga (Energy Commission of Malaysia), Twitter ST_Malaysia dan Instagram st_malaysia," katanya.

Selain daripada itu, jelas Mohd Elmi, orang ramai boleh melaporkan atau membuat aduan sekiranya mendapati terdapat penggunaan elektrik secara curang (kecurian elektrik) kepada ST melalui talian aduan khas 03-8870 8800 atau emel ke eaduan@st.gov.my.

TNB, polis banteras curi elektrik

Perlombongan bitcoin yang menggunakan bekalan elektrik secara curang bukan sahaja memberi impak kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), malah secara tidak langsung kepada rakyat dan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, selain itu ia boleh menyebabkan kerosakan dan kebakaran pada pepasangan TNB.

"Aktiviti melombong bitcoin ini memberi kesan kepada pengguna apabila bekalan elektrik terputus," katanya.

Beliau berkata, perbuatan mencuri elektrik oleh pengusaha bitcoin didapati semakin serius dengan kes yang dikesan meningkat dalam tempoh empat tahun membabitkan 610 kes pada 2018, diikuti 1,043 kes (2019), 2,465 kes (2020) dan 3,091 kes pada 2021.

"Rekod menunjukkan sejumlah 7,209 kes dikesan sepanjang empat tahun telah menyebabkan kehilangan lebih 4.5 bilion kilowatt jam (kWh)," katanya.

Beliau berkata, TNB dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh kerjasama bagi meningkatkan keupayaan menggempur kegiatan mencuri elektrik terutama membabitkan perlombongan bitcoin.

"Operasi bersama membanteras perbuatan yang menyalahi Akta Bekalan Elektrik 1990 itu turut membabitkan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," ujarnya

Baharin berkata, pengusikan pepasangan meter atau penyambungan haram oleh pengusaha bitcoin boleh mencetuskan pelbagai kejadian termasuk gangguan bekalan akibat beban lampau (overloading) sehingga menyebabkan kebakaran.

"Penggunaan melampau rangkaian komputer berkuasa tinggi 24 jam tanpa pengawasan dalam operasi perlombongan bitcoin ini, boleh menyebabkan litar pintas selain penggunaan fius tidak mengikut piawai atau tidak menggunakan sebarang fius dan beban melebihi kapasiti kabel.

"Penyambungan haram pula mengakibatkan bacaan pada meter tidak lagi menunjukkan penggunaan elektrik sebenar, sekali gus mengganggu kestabilan bekalan elektrik kerana permintaan melebihi kapasiti, lantas menjejaskan aktiviti perniagaan dan keselesaan rakyat," katanya.

Ketua Meja Jenayah Sinar Harian, Muhammad Afham Ramli (kanan) dan Wartawan Sinar Harian, Ahmad Ismadi Ismail mewawancara Mohd Elmi di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.
Ketua Meja Jenayah Sinar Harian, Muhammad Afham Ramli (kanan) dan Wartawan Sinar Harian, Ahmad Ismadi Ismail mewawancara Mohd Elmi di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Penyewa curi elektrik, pemilik premis kena bayar RM600,000

Akibat melombong bitcoin dan melakukan sambungan haram meter, pemilik premis sebuah premis di Selangor menerima notis tuntutan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) lebih RM600,000.

Lelaki warga emas berusia 71 tahun itu berkata, dia menyewakan premisnya kepada sebuah 'syarikat penyedia sistem teknologi maklumat' dengan kadar RM1,600 sebulan pada Mei 2019.

"Selepas menerima notis daripada TNB, saya mendapati premis tersebut sudah dikosongkan sejak Disember 2020 dan penyewa terbabit tidak dapat dikesan.

"Saya dituntut untuk melunaskan kerugian lebih RM600,000 oleh TNB susulan penyewa melakukan sambungan haram melepasi meter elektrik bagi aktiviti melombong bitcoin," katanya.

Pada Januari tahun lalu, media melaporkan lelaki itu antara 10 pemilik premis yang membawa kes mereka kepada Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong.

Sepuluh (10) pemilik premis tersebut mempunyai jumlah tuntutan kerugian elektrik yang mencapai nilai keseluruhan RM1.7 juta, dipercayai akibat penyalahgunaan hartanah mereka.

Statistik

- Sebanyak 34 serbuan dijalankan oleh Suruhanjaya Tenaga, 20 kertas siasatan dibuka sejak 2020 sehingga tahun ini.

- Dalam tempoh sama, satu kes telah didakwa dan dikenakan denda sebanyak RM20,000 dan satu kes lagi akan dibicarakan.

- Sepanjang tempoh 2020 hingga tahun ini, jumlah kerugian kepada pihak utiliti dianggarkan melebihi RM600 juta.

Modus Operandi

- Sindiket memasang jerangkap samar di pintu premis bagi menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas.

- Sindiket membuat pintasan secara haram tanpa melalui meter menyebabkan meter gagal merekodkan penggunaan elektrik sebenar di premis.

- Sindiket menyewa premis dan permohonan bekalan elektrik kepada pihak utiliti dibuat dengan menggunakan identiti palsu atau menyalahgunakan identiti orang lain seperti golongan orang kurang upaya serta penjenayah.