Guna kenderaan mewah seludup diesel

Kenderaan MPV digunakan untuk menyeleweng minyak diesel bersubsidi. Gambar kanan: Tangki tambahan yang digunakan disorok di tempat penumpang.
Kenderaan MPV digunakan untuk menyeleweng minyak diesel bersubsidi. Gambar kanan: Tangki tambahan yang digunakan disorok di tempat penumpang.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Gerak-geri mencurigakan seorang lelaki yang sedang mengisi minyak diesel pada kenderaan mewah jenis pelbagai guna (MPV) membongkar kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi itu di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim, di sini petang Khamis.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, RS Jegan berkata, perkara itu terbongkar selepas pemeriksaan dibuat tujuh penguatkuasanya dan menemui tangki simpanan berkapasiti 900 liter yang diletakkan di bahagian tempat penumpang.

"Turut ditemui motor pam dan hose set yang digunakan untuk menyalurkan minyak daripada tangki asal ke tangki tambahan pada kenderaan MPV terbabit.

"Selain merampas MPV jenis Toyota Estima, kita turut menyita 300 liter diesel, motor pam dan hose set, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM300 daripada lelaki berkenaan," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Jumaat.

Dalam serbuan berasingan, Jegan berkata, pihaknya menahan sebuah lori yang sedang mengisi minyak diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Baru, Perai pada jam 9.40 malam atas kesalahan sama.

"Terdapat sebuah tangki minyak diesel berkapasiti 2,000 liter ditemui di dalam lori tersebut. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati 460 liter minyak diesel disimpan dalam tangki tersebut.

"Kedua-dua kes ini melibatkan dua orang warga tempatan berusia sekitar 30-an dan 50-an disyaki pemandu kenderaan yang menggunakan kenderaan milik sindiket bagi tujuan penyelewengan," katanya lagi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat boleh didenda.

Katanya, mana-mana individu yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi akan diambil tindakan tegas selain turut mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan dari orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.