Tentera didakwa rogol anak saudara

Tertuduh berusia 41 tahun ketika dibawa keluar dari Mahkamah Seksyen Melaka pada Jumaat.
Tertuduh berusia 41 tahun ketika dibawa keluar dari Mahkamah Seksyen Melaka pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Seorang anggota tentera tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya.

Tertuduh berusia 41 tahun membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa ketika itu berusia 11 tahun tanpa kerelaannya di sebuah rumah di sini, kira-kira jam 12 tengah hari pada 29 Disember 2021.

Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dengan sengaja telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada jam 11 malam, 28 Disember 2021 di lokasi sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahi dalam hujahnya meminta supaya tertuduh tidak diberikan sebarang jaminan kerana kesalahan tersebut merupakan kesalahan berat.

Namun katanya, jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa mahupun saksi pendakwaan.

Hujahnya lagi, tertuduh merupakan adik ipar kepada ibu mangsa dan sewaktu kejadian mangsa dihantar ke rumah tertuduh untuk dijaga oleh isterinya sepanjang tempoh persekolahan.

Tertuduh yang diwakili peguam, Cassian Anthony dan Kent Tan Chow Teng merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana dia berpendapatan rendah selain perlu menanggung isteri serta dua anaknya yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 serta membenarkan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan dan menetapkan 16 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.