Malaysia tak benarkan sebarang keganasan selesaikan konflik di selatan Thailand

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha pada sidang media Majlis Sambutan Rasmi Lawatan Perdana Menteri di Goverment House. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman bersama Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha pada sidang media Majlis Sambutan Rasmi Lawatan Perdana Menteri di Goverment House. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak akan membenarkan keganasan bagi menyelesaikan sebarang konflik di selatan Thailand.

Anwar, yang sememangnya secara peribadi dikenali ramai di selatan, berjanji untuk "melakukan apa sahaja yang diperlukan" bagi memudahkan proses damai di selatan negara itu.

"Saya datang ke sini dengan mesej yang sangat jelas bahawa kerajaan (Malaysia) tidak membenarkan sebarang jenis keganasan untuk menyelesaikan konflik.

"Kami akan menggunakan hak kami sebagai rakan dan ‘keluarga’ untuk menyatakan kebimbangan kami, pada masa yang sama mengakui bahawa Selatan Thailand adalah isu dalaman Thailand.

"Adalah menjadi kewajipan kami sebagai jiran dan keluarga yang baik untuk melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk memudahkan proses (perdamaian).

"Itu sebabnya kami bersetuju untuk melantik fasilitator yang boleh diterima, daripada seorang pesara ketua angkatan tentera untuk membantu dan menghulur bantuan kami,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatanynya Prayith Chan o-cha selepas mesyuarat mereka di sini pada Khamis.

Anwar sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Thailand bermula hari ini.

Malaysia merupakan fasilitator bagi proses dialog damai dalam menamatkan konflik berpuluh tahun di Selatan Thailand.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dilantik sebagai ketua fasilitator Malaysia yang baharu berkuat kuasa 1 Jan 2023.

Sementara itu, Anwar berkata, usaha membina kepercayaan adalah penting dalam menyelesaikan konflik di selatan Thailand.

"Malang sekali apabila pertelingkahan kecil membawa kepada ketidakpercayaan, kebencian, dan kami perlu merayu kepada kedua-dua pihak di Thailand dan selatannya, untuk memahami bahawa keamanan adalah situasi yang teramat penting.

"Oleh itu, saya ingin bermula dengan beberapa elemen kepercayaan dalam diri kita untuk menyelesaikan masalah ini (kepercayaan) dengan persefahaman.

"Saya telah meminta kebenaran perdana menteri (Prayuth) untuk membenarkan saya menyatakan kebimbangan saya melalui resolusi dan secara aman.

"Terpulang kepada jawatankuasa, jawatankuasa sempadan bersama, untuk bekerjasama dengan rakan sejawatan mereka di Thailand dan mengadakan perbincangan secara ikhlas serta membina kepercayaan,” katanya.

Perbincangan telah diadakan antara kerajaan dan kumpulan pemberontak sejak 2013, namun rundingan itu terhenti apabila tentera mengambil alih pentadbiran Thailand setahun kemudian. Perbincangan kemudiannya diteruskan tanpa penglibatan pihak utama, termasuk Barisan Revolusi Nasional (BRN).

Jeneral Wanlop Rugsanoah mengetuai panel untuk dialog damai di wilayah paling Selatan di Thailand (PEDP). - Bernama.