MH17: Siasatan terpaksa dihentikan

Terdapat petunjuk kukuh keputusan pemindahan sistem misil BUK dibuat di peringkat Presiden Rusia. - Foto: Agensi
Terdapat petunjuk kukuh keputusan pemindahan sistem misil BUK dibuat di peringkat Presiden Rusia. - Foto: Agensi
A
A
A

CANBERRA - Australia pada Khamis berikrar untuk mempertanggungjawabkan Rusia kerana menembak jatuh pesawat MH17 yang meragut kesemua 298 nyawa mangsa penumpang selepas pasukan penyiasat antarabangsa menghentikan siasatan terhadap tragedi itu.

Keputusan yang sememangnya menghampakan waris keluarga mangsa penumpang itu terpaksa dibuat setelah penyiasat gagal mendapat kerjasama daripada Moscow dan kekurangan saksi yang tampil memberi keterangan.

Menteri Luar Australia, Penny Wong dan Peguam Negara, Mark Dreyfus dalam satu kenyataan bersama mendakwa Moscow berulang kali cuba menggagalkan siasatan tersebut.

“Adalah mustahil untuk mengumpulkan bukti. Kempen pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan keengganan Moscow untuk bekerjasama menyukarkan proses siasatan itu hingga ia terpaksa dihentikan,” ujarnya.

Pada Rabu, penyiasat antarabangsa mendakwa terdapat ‘bukti kukuh’ Presiden Rusia, Vladimir Putin secara peribadi meluluskan pemindahan sistem peluru berpandu berkenaan.

“Terdapat petunjuk kukuh keputusan pemindahan sistem misil BUK dibuat di peringkat presiden. Tetapi, sukar untuk membuktikannya tanpa keterangan lengkap dan konklusif,” kata pendakwa raya Belanda, Digna van Boetzelaer.

Jelasnya, siasatan itu terpaksa digantung kerana segala petunjuk kini menemui jalan buntu.

“Putin sendiri tidak boleh ‘disentuh’ buat masa ini. Beliau masih kebal di bawah undang-undang antarabangsa kerana kedudukannya sebagai presiden,” ujarnya lagi.

Sehingga kini, Rusia menafikan penglibatan mereka malah ia turut menyelar keputusan mahkamah yang disifatkan bermotifkan politik. - AFP