Dadah: Warga Nigeria terlepas hukuman gantung

Ngonadi (dua dari kanan) ketika dibicarakan. - Foto Sinar Harian.
Ngonadi (dua dari kanan) ketika dibicarakan. - Foto Sinar Harian.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang lelaki warga Nigeria terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis mengetepikan sabitan terhadapnya bagi dua pertuduhan mengedar dadah jenis kokain dan kanabis seberat 1.26 kilogram, enam tahun lepas.

Hukuman Ngonadi Chibuzor Innocent, 44, diganti dengan penjara 12 tahun serta 20 sebatan dan bekas pekerja restoran itu diarah menjalani hukuman tersebut dari tarikh dia ditangkap iaitu 12 September 2017.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara memutuskan demikian selepas peguam Afifuddin Ahmad Hafifi memaklumkan Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi Ngonadi Chibuzor bagi mengetepikan hukuman gantung dengan meminda pertuduhan daripada mengedar kepada memiliki dadah.

"Setelah mempertimbang mitigasi perayu, mahkamah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan terhadap perayu,” katanya yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Supang Lian dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dua lokasi berasingan di Gombak pada 11 pagi dan 11.20 pagi 12 September 2017 mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 kali.

Pada 13 November 2019, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap Ngonadi Chibuzor selepas dia didapati bersalah mengedar dadah mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai.- Bernama.