Ramai suri rumah belum mencarum SKSSR

Rafidah menyampaikan faedah kepada waris, Abdullah Abu Bakar di Kampung Pengkalan Bujang, Merbok pada Khamis.
Rafidah menyampaikan faedah kepada waris, Abdullah Abu Bakar di Kampung Pengkalan Bujang, Merbok pada Khamis.
A
A
A

KUALA MUDA - Seramai 4,916 suri rumah di Kedah dilaporkan mendaftar Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang diwartakan melalui Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 sejak mula dikuatkuasa 1 Disember lalu.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Kedah, Rafidah Abdul Rahim berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi menarik lebih ramai suri rumah berdaftar bagi tujuan memberi perlindungan kepada golongan berkenaan.

Menurutnya, dalam usaha itu, Perkeso telah menghubungi wakil rakyat bagi tujuan menyebar luas maklumat tersebut selain kini dalam usaha bertemu pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) agar lebih ramai suri rumah menyedari kewujudan skim ini.

"Ramai yang belum carum dan saya harap suri rumah ambil tindakan segera untuk mencarum sebanyak RM120 setahun," katanya ketika hadir ke Pembayaran Faedah SKSSR kepada waris di Kampung Pengkalan Bujang, Merbok di sini pada Khamis.

Jelasnya, SKSSR diwujudkan bagi memberi perlindungan kepada suri rumah yang mengalami kemalangan, penyakit atau insiden semasa melakukan urusan berkaitan rumah tangga sehingga menyebabkan hilang upaya kekal atau keilatan sehingga menjejaskan keupayaan mereka untuk menguruskan rumah tangga.

Sementara itu, penerima manfaat SKSSR, Abdullah Abu Bakar, 49, terharu apabila dimaklumkan layak menerima Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat setelah isterinya , Siti Ahmad, 45, yang merupakan pencarum meninggal dunia pada 23 Disember lalu.

Menurutnya, penerimaan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dan Pencen Penakat sebanyak RM300 sebulan bergantung kepada pecahan syer orang tanggungan (OT) sedikit sebanyak meringankan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Arwah telah 'pergi' meninggalkan kami tetapi ada manfaat yang ditinggalkan dari skim ini buat saya dan anak-anak, Alhamdulillah," katanya.

Terdahulu, Rafidah telah menyampaikan faedah sama kepada waris Che Tom Lah di Kampung Bahagia, Kota Sarang Semut, yang meninggal dunia 5 Disember lalu akibat Covid-19.

Che Tom merupakan seorang suri rumah dan tidak pernah bekerja namun merupakan salah seorang pencarum SKSSR.

Menurut Rafidah, skim berkenaan terbuka kepada suri rumah warganegara Malaysia yang belum mencapai umur 55 tahun di mana bagi pencarum pertama kali, mestilah berumur tidak lebih 54 tahun.

Pendaftaran dan pembayaran SKSSR boleh dibuat di mana-mana pejabat Perkeso atau melalui suri.perkeso.gov.my atau layari laman web Perkeso.

Menurutnya, pelaksanaan SKSSR itu menjadikan Malaysia antara empat negara di dunia yang menyediakan perlindungan khusus bagi golongan wanita dalam bentuk skim dan faedah.