'Kali terakhir jumpa ibu pada Isnin'

Waris mangsa yang menunggu di Unit Forensik, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pada Khamis.
Waris mangsa yang menunggu di Unit Forensik, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pada Khamis.
A
A
A

TEMERLOH - "Ibu memang suka berjalan-jalan dan kali terakhir kami jumpa pada Isnin lalu," kata Mah Hoong Ming, 38, anak kepada Foong Ah Lan, 67, antara tujuh mangsa maut selepas van persiaran yang naiki terbabas dan melanggar penghadang jalan di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands pada Rabu.

Ujar anak ketiga dari empat beradik, ibunya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan bersikap seperti biasa selain rapat dengan anak-anaknya.

"Ibu juga tidak memberikan sebarang pesanan sebelum pergi ke Genting Highlands.

"Kami mengetahui mengenai kejadian menimpa ibu selepas menerima panggilan pada petang semalam (Rabu)," kata Hoong Ming yang tinggal bersebelahan rumah ibunya di Juru, Pulau Pinang.

Sementara itu, kakak Hoong Ming, Mah Pih Ling,42, memberitahu, ibunya selalu pergi berjalan dengan makciknya yang turut cedera dalam kemalangan tersebut.

Pih Ling (kiri) bersama Hoong Ming yang ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pada Khamis
Pih Ling (kiri) bersama Hoong Ming yang ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pada Khamis

"Saya dapat panggilan mengenai kejadian yang menimpa ibu pada jam 3.40 petang semalam(Rabu)," kata anak kedua tersebut.

Kedua-dua beradik itu ditemui di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh pada Khamis.

Turut kelihatan, ahli Persatuan Buddhist Tzu Chi datang memberikan sokongan kepada waris-waris mangsa.

Difahamkan kesemua mangsa datang bercuti di Genting Highlands dan kemalangan kira-kira jam 1.15 tengah hari itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang.

Van tersebut dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun bersama 13 penumpang terdiri 12 perempuan dan seorang lelaki yang berusia lingkungan 49 hingga 78 tahun.