Imej kerajaan BN-PH tercemar jika gagal selesai isu jalan rosak

Tangkapan layar rungutan dan aduan daripada pengguna jalan raya melalui laman sosial Facebook. Andansura (gambar kiri).
Tangkapan layar rungutan dan aduan daripada pengguna jalan raya melalui laman sosial Facebook. Andansura (gambar kiri).
A
A
A

KUANTAN - Imej Kerajaan Perpaduan yang diterajui Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan tercemar jika gagal menyelesaikan segera isu jalan rosak di negeri ini khususnya di Bandaraya Kuantan.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu menjelaskan, keadaan jalan raya yang teruk mencerminkan tahap ketidakcekapan sesebuah kerajaan apatah lagi Kuantan adalah sebuah bandar raya dan juga ibu negeri Pahang.

"Apa kata pelancong luar yang datang ke Kuantan untuk bercuti atau ini adalah salah satu tarikan baru pelancongan di Pahang.

"Dulu kita (Kuantan) terkenal sebagai Marikh Malaysia, adakah kini kita berbangga untuk dikenali sebagai Pahang raja jalan berlubang?

"Saya tidak menafikan usaha yang dibuat oleh pihak berwajib tetapi melihat kepada banyak kejadian yang tidak diingini berlaku perlu ada satu perancangan jangka pendek dan panjang untuk keselesaan pengguna jalan raya khususnya jalan-jalan di Bandaraya Kuantan dan jalan lain di seluruh Pahang secara amnya," katanya pada Khamis.

Beliau memaklumkan banyak rungutan, aduan diterima daripada pengguna jalan raya berhubung keadaan jalan berlubang, gelap, tiada garis tengah dan tepi sehingga boleh mengakibatkan kemalangan ataupun kerosakan kenderaan.

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah itu, hujan yang tidak menentu menambahkan lagi tahap kerosakan terhadap struktur jalan, sekali gus meningkatkan kadar kemalangan kepada pengguna jalan raya.

"Banyak rungutan dan aduan termasuk gambar keadaan kenderaan yang mengalami kemalangan sama ada kereta ataupun motosikal telah dimuat naik di media sosial.

"Mereka ini (pengguna jalan raya) berdepan dengan kerosakan rim, tayar akibat terbabas susulan keadaan jalan berlubang begitu banyak dari bandar Kuantan hingga ke sempadan negeri Terengganu. Tidak terkecuali jalan-jalan kampung dan kawasan perumahan juga mengalami kerosakan teruk," kata beliau lagi.

Andansura menambah, rakyat tidak boleh dibebankan dengan masalah jalan rosak sehingga mereka terpaksa menanggung perbelanjaan tambahan untuk membaiki kerosakan kenderaan.

"Mereka (rakyat) tidak mahu lagi mendengar alasan tiada peruntukan untuk kerja-kerja baik pulih.

"Jadi, saya desak pihak berwajib sama ada Jabatan Kerja Raya, Roadcare, YP Maintenance dan pihak berkuasa tempatan untuk turun dan selesaikan permasalahan jalan yang rosak teruk ini dengan kadar segera bagi mengelakkan keadaan yang tidak diingini berlaku," katanya.