Langgar perlembagaan: UMNO penuhi semua permintaan RoS

Ahmad Zahid - Foto Bernama
Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] UMNO telah memenuhi semua permintaan dan maklumat yang diperlukan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung aduan parti itu yang didakwa melanggar Perlembagaan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau yakin perjalanan Perhimpunan Agong UMNO (PAU 2022) baru-baru ini telah mengikut peraturan mesyuarat yang telah ditetapkan.

"Saya yakin bahawa Setiausaha Agung (Datuk Seri Ahmad Maslan) telah memenuhi semua permintaan RoS dan memberi maklumat penuh yang diperlukan," katanya menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini pada Khamis.

Beliau berpendapat, RoS perlu mendengar ulasan dan aduan kedua-dua pihak.

Katanya, langkah tersebut bertujuan untuk melahirkan suasana harmoni dalam kalangan ahli dan kepimpinanan agar tidak timbul tafsiran dan juga interpretasi yang pelbagai.

Apatah lagi kata Ahmad Zahid, peranan RoS adalah menjaga kepentingan ahli-ahli berdasarkan perlembagaan pertubuhan itu.

"Saya berpendapat RoS yang ditubuhkan pada tahun 1966 bertujuan untuk menjaga kepentingan ahli mana-mana pertubuhan yang didaftarkan dengan jabatan itu sebagaimana termaktub dalam perlembagaan," katanya.

Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO membuat aduan kepada RoS bahawa parti itu telah melanggar perlembagaan selepas usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan diperkenalkan semasa ucapan pencadang usul Ucapan Dasar Presiden pada persidangan itu.