[VIDEO] UMNO langgar perlembagaan parti

Muhammad Aizat Fikri (dua dari kiri) bersama tiga lagi ahli UMNO hadir ke ibu pejabat RoS di Putrajaya pada Jumaat untuk membuat aduan berhubung pelanggaran perlembagaan parti. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Muhammad Aizat Fikri (dua dari kiri) bersama tiga lagi ahli UMNO hadir ke ibu pejabat RoS di Putrajaya pada Jumaat untuk membuat aduan berhubung pelanggaran perlembagaan parti. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] UMNO didakwa telah melanggar perlembagaan parti pada Perhimpunan Agung (PAU) 2022 yang lalu.

Ahli UMNO, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir berkata, perkara itu berlaku apabila usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan diperkenalkan semasa ucapan pencadang usul Ucapan Dasar Presiden pada persidangan tersebut.

Menurutnya, tindakan tersebut telah melanggar Peraturan 10 yang mana menyatakan sebarang usul perlulah disampaikan dalam tempoh 14 hari.

"Tetapi tiada notis yang dihantar kepada perwakilan dalam tempoh tersebut," katanya menerusi sidang akhbar selepas membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, terdapat klausa di dalam Perlembagaan UMNO yang menyebut boleh memasukkan usul pada hari persidangan tetapi dengan syarat.

"Pertama, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mesti menerangkan usul tersebut, tetapi perkara ini tidak berlaku. MKT tidak langsung menerangkannya.

"Kedua, usul itu mestilah mempunyai kepentingan awam namun ia tidak. Usul tersebut hanya menguntungkan dua orang sahaja," katanya.

Muhammad Aizat Fikri berkata, usul tambahan dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin itu sebenarnya tidak membawa suara akar umbi di dalam parti.

Artikel Berkaitan:

"Akar umbi tidak pernah restu perkara ini. Jadi kita kena kembali kepada akar umbi untuk menentukan siapa yang sepatutnya memimpin parti," katanya.

Menjelaskan dua orang yang dikatakan 'menikmati keuntungan' selepas dua usul tersebut diluluskan, beliau berkata:

"Dua orang tersebut adalah mereka yang mempunyai kepentingan. Ia adalah Presiden dan Timbalan Presiden.

"Perkara ini bukan atas nama individu, tetapi jawatan," katanya lagi.

Ditanya mengenai risiko yang bakal dikenakan parti terhadap mereka, Muhammad Aizat Fikri yang juga Ahli UMNO Kuala Nerus berkata, ia terpulang kepada pucuk pimpinan.

"Kita berjuang untuk perkara yang benar. Kami hanyalah ahli UMNO yang tiada jawatan dalam parti," katanya.

Sementara itu, ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus berkata, terdapat elemen kemandulan demokrasi UMNO pada usul tambahan tersebut.

"Apabila ada usaha sebegini, kaji balik. Daripada kuota, terus kepada 160,000 perwakilan, ia bersifat progresif.

"Jadi sekurang-kurangnya ia perlu dibawa ke 191 bahagian.

"Itu adalah salah satu rasional kenapa kami bawa ke RoS bagi memeriksa jika ada pertikaian terhadap usul berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, mereka turut mengajak ahli UMNO yang lain membuat aduan kepada RoS.

"Kita ahli UMNO yang punya suara. Kepada ahli di luar sana yang mana rasa takut, segan tidak payah segan kerana ini suara kita. Kami mula dahulu," katanya.

Pada 14 Januari lalu, UMNO meluluskan usul tambahan supaya jawatan Presiden yang kini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak dipertandingkan pada pilihan parti akan datang.

Usul tambahan itu dikemukakan Mohd Shukri diluluskan melalui undian suara, sebelum sesi penggulung perbahasan dimulakan.

Kelulusan pengundian usul itu yang dilakukan secara tertutup di Dewan Merdeka dan diumumkan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruddin selaras Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.