[VIDEO] Kerajaan cari mekanisme bantu rakyat tanpa pengeluaran KWSP - PM

Anwar bergambar bersama penuntut selepas berucap pada Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil 'Reformasi Pendidikan untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia' di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya pada Khamis.
Anwar bergambar bersama penuntut selepas berucap pada Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil 'Reformasi Pendidikan untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia' di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan sedang berusaha mencari mekanisme terbaik membantu rakyat menangani kos sara hidup tanpa perlu membuat pengeluaran Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat perlu sedar bahawa pengeluaran KWSP hanya menjejaskan simpanan mereka ketika sudah bersara.

Beliau memberitahu, jika diikutkan kerajaan tidak ada halangan untuk rakyat mengeluarkan KWSP kerana ia wang pencarum.

"Pencarum yang hendak keluar KWSP kena fikir apa pilihan kita (sedangkan) dalam (simpanan KWSP) tinggal RM10,000 atau RM5,000.

"Kalau pencen empat tahun lagi, apa hendak jadi (jika tiada simpanan), biarlah pengeluaran ini membantu pada masa akan datang," katanya pada sidang akhbar selepas Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil 'Reformasi Pendidikan untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia' di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya di sini pada Khamis.

Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan perlu memperhalusi semua sudut sebelum meluluskan sebarang proses pengeluaran KWSP.

"Kita memikirkan bagaimana hendak mengurangkan beban semasa mereka bersara nanti," katanya.

Ditanya tentang tumpuan dalam pembentangan semula Bajet 2023, Anwar berkata, beliau sebelum ini telah menjelaskan keutamaan Kerajaan Perpaduan ketika ini untuk menangani defisit.

Jelasnya, beberapa perkara diberi tumpuan utama dalam bajet itu, namun yang pasti untuk menggembirakan rakyat.

"Tumpuan sudah pasti ke arah aspek digital, keterjaminan dan keselamatan makanan, keselesaan rakyat dan kos sara hidup.

"Ini strategi kita yang lain saya akan umumkan masa Belanjawan 2023 (yang dijadualkan 24 Februari) ini," kata beliau.