Gempa bumi: Dari Batang Kali, Dentie, Frankie terbang ke Turkiye

Frankie dan Dentie merupakan anjing sama terlibat dalam misi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, Disember lalu. - Foto Shahir Omar
Frankie dan Dentie merupakan anjing sama terlibat dalam misi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, Disember lalu. - Foto Shahir Omar
A
A
A

SEPANG - Dua anjing Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diterbangkan ke Turkiye bagi menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu.

Kedua-dua anjing berkenaan yang dikenali sebagai Frankie dan Dentie merupakan anjing yang sama terlibat dalam misi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, Disember lalu.

Menurut Komander Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM, Penguasa Kanan Bomba I Ismail Abdul Ghani, kedua-dua anjing berkenaan tidak mempunyai sebarang masalah untuk menaiki pesawat serta telah melepasi saringan.

"Tiada masalah untuk kita terbangkan anjing-anjing ini kerana ini (SAR) juga merupakan sebahagian daripada latihan mereka.

"Apa yang penting mereka ini (anjing) mesti lepas saringan kesihatan dan perlu ada kelulusan daripada Maqis (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia) untuk dibawa keluar," katanya.

Beliau ditemui ketika sesi pelepasan kumpulan kedua Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata kedua-dua anjing terbabit sememangnya mempunyai kepakaran dalam misi SAR hasil latihan sepenuh masa.

"Anjing ini memang dilatih sepanjang masa dan kepakaran dia adalah untuk SAR... memang dia punya kepakaran adalah untuk cari mangsa hidup atau yang telah mati.

"Kita bawa K9 sebagai usaha tambahan dan ini merupakan misi yang sama seperti di Batang Kali dan kita anggap mereka ini (anjing K9) antara subjek penting untuk kesan lokasi mangsa," jelasnya.

Difahamkan, Dentie dan Frankie masing-masing ditugaskan selama 14 hari bagi misi SAR di Turkiye.

Sebelum ini, Unit K9 berkenaan mendapat perhatian ramai pihak susulan prestasi cemerlang sewaktu misi SAR di Batang Kali apabila berjaya menemukan banyak mayat mangsa yang tertimbus. - Awani