Selesaikan isu berbangkit libat teksi, e-hailing - GTMS

Gambar hiasan. Gambar kecil: Kamarudin
Gambar hiasan. Gambar kecil: Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masalah berbangkit membabitkan sektor teksi dan e-hailing perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kerajaan melaksanakan sebarang pelan bagi membangunkan industri tersebut.

Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Semalaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain berkata, pihaknya menyambut baik sebarang usaha dirangka kerajaan dalam menambah baik sistem pengangkutan awam ke arah memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

Bagaimanapun katanya, Kementerian Pengangkutan tidak boleh hanya menjaga kepentingan pengguna sebaliknya perlu bertanggungjawab menyelesaikan masalah dihadapi pemain industri.

"Kita pemain industri juga adalah rakyat Malaysia. Kami juga perlu menyara keluarga kami.



"Malangnya kebajikan kami sebagai pemain industri sering kali diabaikan dan tidak diendahkan," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas berhubung usaha kerajaan untuk meningkatkan kecekapan sistem jaringan pengangkutan awam bagi meningkatkan jumlah pengguna menggunakan perkhidmatan tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Selasa memaklumkan, kebergantungan terhadap bas perantara sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu jaringan sistem pengangkutan first mile dan last mile.

Anthony berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang melaksanakan projek perintis untuk memperkenalkan konsep 'transport sharing' kepada syarikat teksi dan e-hailing bagi membolehkan pengguna mendapat tambang yang lebih rendah.

Kamarudin berkata, kerajaan perlu mempunyai garis panduan yang jelas berhubung perkara itu.

Tegasnya, terlebih dahulu, sektor teksi dan e-hailing perlu diselaraskan dan diletakkan dalam satu kelas yang sama kerana menjalankan aktiviti yang sama.

"Kaedah menyerahkan untung rugi kami kepada syarikat pengendali adalah langkah yang tidak tepat.

"Kerajaan juga perlu mengawal kadar tambang perkhidmatan dengan memperkenal penetapan harga lantai.

"Kalau harga petrol dan rokok boleh dikawal oleh kerajaan, kenapa tambang teksi tidak boleh dikawal? ujarnya.

Katanya, kerajaan tidak boleh hanya melihat aspek kebajikan pengguna semata-mata tapi periuk nasi pemandu teksi dan e-hailing juga perlu diambil kira.

"Jika mahu kenakan tambang rendah kepada pengguna, kos tersebut tidak boleh hanya diserahkan kepada pemain industri sepenuhnya.

"Sebaliknya, kerajaan perlu main peranan dengan menyediakan subsidi bagi tampung kos tersembunyi," katanya.

Tambahnya, walaupun pemain industri berada dalam keadaan tertekan, namun mereka mengambil sikap memberi ruang kepada kerajaan untuk menyelesaikan isu berbangkit sektor teksi dan e-penghantar.