Saksi tertekan ketika kendalikan akaun peribadi Najib

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas Pengurus Perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa dia merasa tertekan sepanjang mengendalikan akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Joanna Yu Ging Ping, 52, berkata, perasaan itu mula timbul jika pengeluaran cek melebihi baki dalam akaun seterusnya boleh mengakibatkan cek tendang.

Sedangkan dia berkata, kakitangan bank diberitahu supaya tidak membiarkan perkara tersebut berlaku kerana boleh merosakkan reputasi pemimpin UMNO itu.

Dalam perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, saksi pendakwaan ke-41 itu berkata, Perdana Menteri mungkin akan bertanya, mengapa bank membiarkan cek itu ditendang sedangkan mereka sedia maklum jumlah baki dalam akaun tersebut.

"Selain itu, pihak bank juga bimbang jika isu cek tendang dapat dihidu media termasuk persaing politiknya, laporan negatif berkenaan boleh menjejaskan reputasi Najib selaku Perdana Menteri," katanya ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Ahmad Akram: Adakah perkara yang sama akan dilakukan terhadap pelanggan lain di AmBank, jika mereka mengeluarkan wang menggunakan cek melebihi baki simpanan?

Joanna: Kalau baki simpanan tidak mencukupi, ada beberapa protokol yang berbeza akan dilakukan, antaranya pihak bank di cawangan akan menutup akaun tersebut.

Ahmad Akram: Kenapa tidak buat perkara sama pada akaun Najib?

Joanna: Itu ialah akaun seorang Perdana Menteri, malah R Ashok (bekas Pengarah Urusan Kumpulan Bank) juga ambil pendekatan berbeza iaitu berbincang terlebih dahulu.

Saksi ini dilantik sebagai pengurus perhubungan bagi akaun peribadi Najib kerana telah mengendalikan akaun berkaitan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum ini.

Najib, 70, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung Khamis.