SAR penuntut UniKL hilang dihentikan

Muhamad Akmal Hakimi (kiri). SAR pelajar UniKL dihentikan pada Rabu. - Foto: FB Polis Mersing
Muhamad Akmal Hakimi (kiri). SAR pelajar UniKL dihentikan pada Rabu. - Foto: FB Polis Mersing
A
A
A
MERSING – Usaha mencari dan menyelamat (SAR) penuntut UniKL, Muhamad Akmal Hakimi Ishak, 20, yang dipercayai hilang di Pulau Mawar di sini sejak minggu lalu dihentikan pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah, SAR berkenaan dihentikan setelah mendapati tiada sebarang kesan atau jejak ditemui di sekitar kawasan pencarian.

“Sepanjang lima hari tempoh pencarian, pelbagai kaedah telah digunakan melibatkan pencarian di darat, laut termasuk di sungai.

“Kita juga menggunakan dron bagi tujuan mengesan mangsa tetapi sehingga petang semalam (Rabu) tiada sebarang kesan ditemui di lokasi pencarian.



“Jadi, atas sebab tersebut, kita putuskan SAR ini dihentikan sehingga ada maklumat terbaru diterima,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Untuk rekod, Muhamad Akmal Hakimi dikatakan keluar dari rumahnya di Taman Makmur, Kluang pada Rabu, minggu lalu dengan menunggang motosikal ke Mersing.

Bagaimanapun, dia dilaporkan tidak pulang ke rumah dan polis telah melancarkan SAR di Mersing pada Jumaat minggu lalu yang turut melibatkan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mersing, pejabat daerah, khidmat malim gunung dari Kluang termasuk khidmat unit K9 polis dan K9 bomba bagi mengesannya.

Bagaimanapun, segala usaha yang dijalankan bagi mengesannya menemui jalan buntu sehingga SAR berkenaan dihentikan dan SAR yang tamat sekitar jam 7 malam, Selasa, merupakan pencarian terakhir yang dilakukan.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, usaha pencarian Muhamad Akmal Hakimi kini disiasat oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

“Kes ini disisaat oleh Kluang (IPD), sebab laporan dibuat di Kluang.

"Bagaimanapun, kita juga akan maklumkan jika ada apa-apa maklumat terbaru yang kita terima kelak,” katanya.