Perbicaraan Ebit Lew ditangguh esok

Ebit bersama peguamnya, Ram Singh di Mahkamah Majistret Tenom ketika perbicaraan berlangsung pada Rabu.
Ebit bersama peguamnya, Ram Singh di Mahkamah Majistret Tenom ketika perbicaraan berlangsung pada Rabu.
A
A
A

TENOM - Perbicaraan pendakwah terkenal, Ebit Lew yang sepatutnya berlangsung pada jam 2.30 petang Rabu di Mahkamah Majistret Tenom di sini ditangguhkan.

Penangguhan itu adalah bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan hujahan ringkas mereka pada jam 4.30 petang ini kepada mahkamah.

Difahamkan, pihak pembelaan menghantar hujahan itu membabitkan isu 90 gambar berunsur lucah daripada pihak pendakwaan yang akan dijadikan sebagai bahan bukti.

Sehubungan itu, perbicaraan akan disambung semula pada jam 10.30 pagi Khamis bagi mendapatkan keputusan menggunakan 90 gambar berkenaan untuk dijadikan bahan bukti.

Sebelum itu, dalam hujahan peguam yang mewakili Ebit, Ram Singh memaklumkan bahawa pemacu kilat yang dijadikan bahan bukti oleh pihak pendakwaan tidak diperoleh pihaknya.

Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria sebelum itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa imej yang ada di dalam pemacu kilat berkenaan mengandungi imej tertuduh dan pengadu yang bersifat seksual selain terdapat 90 imej lucah di dalamnya.

Ebit Lew, 37, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Beliau diwakili barisan peguamnya, Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.