Kes Ebit Lew: Polis rampas telefon bimbit Firdaus Wong

Hirdawati ketika hadir memberi keterangan sebagai saksi keenam dalam kes melibatkan Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom di Tenom.
Hirdawati ketika hadir memberi keterangan sebagai saksi keenam dalam kes melibatkan Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom di Tenom.
A
A
A
TENOM - Saksi keenam, pegawai polis dari Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman adalah individu yang merampas telefon bimbit milik pendakwah bebas, Firdaus Wong membabitkan kes gangguan seksual yang dihadapi oleh pendakwah terkenal, Ebit Lew.

Superintendan Hirdawati Isa memberitahu mahkamah bahawa rampasan itu dibuat pada 28 September 2021 selepas menerima arahan daripada pegawai penyiasat berkaitan laporan kes Tenom.

"Pada kira-kira jam 2 petang, saya telah diminta oleh pegawai penyiasat Superintendan Noor Asyikin Shamsuri untuk menjalankan rampasan telefon bimbit seorang saksi bernama Firdaus Wong Wai Hung yang akan datang ke pejabat D11 dan saya memperkenalkan diri saya sebagai pegawai polis.



"Saya telah meminta Firdaus menyerahkan kad pengenalan beliau dan saya seterusnya telah mengarahkan Firdaus menyerahkan telefon bimbitnya kepada saya.



"Setelah Firdaus menyerahkan telefon bimbit kepada saya, saya telah keluarkan borang pemeriksaan kepada beliau," katanya ketika menjawab soalan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria dalam Mahkamah Majistret Tenom pada Selasa.

Hirdawati turut berkata, telefon bimbit yang dirampas daripada Firdaus Wong ialah jenis iPhone XS Max berwarna putih dan satu kad sim.

Dalam perbicaraan lepas, Firdaus Wong merupakan saksi ketiga daripada pihak pendakwaan bagi perbicaraan kes membabitkan Ebit Lew.

Dalam kes ini, Ebit Lew, 37, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Beliau diwakili barisan peguamnya, Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.