Perak mohon RM3 bilion dalam Bajet Persekutuan

Saarani ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Pelancaran Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma pada Rabu.
Saarani ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Pelancaran Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak telah mengemukakan senarai permohonan projek-projek pembangunan bernilai RM3 bilion untuk dimasukkan dalam Bajet Persekutuan 2023 nanti.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, kesemua peruntukan yang dimohon itu membabitkan projek-projek berkepentingan rakyat.

Jelasnya, antara projek tersebut melibatkan pembinaan semula Jalan Raya Timur Barat, tambahan katil di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan beberapa projek lain.

"Saya telah mengetuai satu delegasi bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Pegawai Kewangan negeri dan tiga orang exco kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan bertemu dengan Perdana Menteri mengemukakan senarai permohonan daripada kerajaan Perak lebih dari RM3 bilion pada waktu itu.

"Kita faham Kementerian Kewangan sedang dalam proses untuk memperhalusi cadangan-cadangan bajet, jadi kita masuk permohonan. Kita harap kalau tak boleh bagi semua, jangan tolak semua (permohonan)," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa dan Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Pejabat Menteri Besar Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Menurutnya, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan akan turun ke Perak pada Khamis untuk mengadakan dialog bajet yang akan dibentang pada 24 Februari depan.

Katanya, semua exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dijemput untuk mendengar taklimat dan memberikan maklum balas menerusi dialog tersebut.