SPRM digesa siasat BN, PH belanja ‘mewah’ PRU15

Khairul Anuar (tengah) menunjukkan laporan dan gambar yang didakwa sebagai salah laku pemimpin utama BN dan PH pada PRU15 di Alor Setar pada Rabu.
Khairul Anuar (tengah) menunjukkan laporan dan gambar yang didakwa sebagai salah laku pemimpin utama BN dan PH pada PRU15 di Alor Setar pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat sumber perbelanjaan 'mewah' Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, dakwaan seorang penulis blog bahawa PH membelanjakan kira-kira RM10 juta bagi setiap kerusi Parlimen, manakala BN membelanjakan RM6 juta perlu disiasat.

Menurutnya, perbelanjaan mewah tersebut telah melanggar melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mana setiap calon kerusi Parlimen hanya boleh membelanjakan sehingga RM200,000 sahaja bagi tujuan kempen mereka.

“Hari ini saya dengan tegas meminta SPRM jangan hanya menyiasat akaun parti Bersatu, Pas atau Gerakan sahaja, siasat juga akaun PH dan BN.

“Berdasarkan dakwaan itu, lebih RM1 bilion dibelanjakan BN untuk bertanding di 179 kerusi Parlimen, manakala PH membelanjakan kira-kira RM2.2 bilion untuk bertanding di 220 kerusi Parlimen semasa PRU15,” katanya ketika sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebelum membuat laporan kepada SPRM bagi mendesak siasatan terhadap akaun dan sumber perbelanjaan PH dan BN sewaktu PRU15 di Bangunan SPRM Kedah dekat sini.

Khairul Anuar berkata, perbelanjaan berlebihan dapat dilihat daripada acara cabutan bertuah yang dijalankan oleh BN semasa kempen PRU15.

"Ini adalah sebahagian daripada bukti yang kita ada untuk kita beritahu kepada SPRM jalankan tugas dengan adil dan telus. Jangan mengikut telunjuk dan cakap ahli politik,” ujar beliau.

Pada 1 Februari lalu, media melaporkan SPRM membekukan beberapa akaun milik parti Bersatu dan disahkan oleh Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, akaun terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram (illegal proceeds).

Siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.