Beku akaun Bersatu: Tak jejaskan Pas sebagai rakan gabungan

Mohd Amar (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Rabu.)
Mohd Amar (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Rabu.)
A
A
A

KOTA BHARU - Pembekuan beberapa akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menjejaskan Pas sebagai rakan gabungan parti itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tindakan tersebut hanyalah proses penyiasatan SPRM dan belum mendapat kesahihan pihak yang disiasat itu bersalah atau sebaliknya.

“Ini dalam proses penyiasatan jadi ada alasan untuk SPRM membekukan akaun.

“Itu biasa bagi mana-mana individu atau pertubuhan yang disiasat melibatkan isu kewangan biasanya akaun akan dibekukan dan lepas siasatan kalau tidak ada apa-apa, akan dilepaskan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Turun Padang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor pada Khamis.

Pada program itu, sebanyak tujuh keluarga antaranya membabitkan mangsa kemalangan, kebakaran dan asnaf yang menerima sumbangan daripada Ahli DUN Panchor juga Timbalan Menteri Besar Kelantan tersebut.

Sementara itu, Mohd Amar berkata, Pas menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan tugas dan menunggu keputusan sebelum membuat kesimpulan lebih awal.

“Kalau tengok dalam akaun, berapa sangat duit yang ada, defisit pun banyak,” ujarnya.

Pada Rabu, media melaporkan akaun Bersatu dibekukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan dana bawah Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM92.5 bilion.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu Pas kekal bersedia untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang biarpun wujud kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Dua penjuru ke, tiga penjuru ke kita lawan.

“Lawan tetap lawan, menang bonus, kalau kalah balik modal,” katanya.