Warden menangis teresak-esak dituduh bunuh pelatih

Nur Aslam (dua dari kiri) bersama Suffian Effendy (depan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Rabu atas pertuduhan membunuh.
Nur Aslam (dua dari kiri) bersama Suffian Effendy (depan) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Rabu atas pertuduhan membunuh.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Seorang warden pusat pemulihan dadah menangis teresak-esak selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang juga penghuni pusat itu, minggu lalu.

Nur Aslam Faizal, 35, tidak dapat menahan sebak selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Bapa tiga anak itu bersama seorang pelatih pusat berkenaan, Suffian Effendy Kadri, 30, didakwa bersama-sama menyebabkan kematian ke atas Mohd Ali Mohd Nor, 50.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Perlok, Sungai Siput jam lebih kurang 10.30 pagi pada 31 Januari 2023.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan mereka mengaku faham sebaik pertuduhan dibacakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya RS Vitthiyeswary manakala Suffian Effendy tidak diwakili peguam.

Nur Aslam yang diwakili Peguam Keshvinder Singh memohon kepada mahkamah membenarkan tertuduh untuk berjumpa dengan ahli keluarga atas alasan sudah lama tidak bertemu sejak ditahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh menemui ahli keluarga termasuk ibunya selama tempoh lima minit dalam kamar mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 10 April depan sebagai sebutan semula kes.

Tertuduh sebelum ini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan polis selepas keputusan bedah siasat ke atas mangsa mengesahkan, kecederaan dialami adalah akibat dipukul dengan menggunakan objek tumpul.