Empat ditahan kes pelatih mati dipukul dalam pusat pemulihan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Tiga kakitangan dan seorang pelatih Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) Perlop, Sungai Siput ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang pelatih pusat itu, Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kesemua mereka berusia lingkungan 30 hingga 38 tahun itu direman selama tujuh hari bermula Khamis.

Menurutnya, dalam kejadian sekitar jam 12.55 tengah hari itu, polis menerima maklumat kematian seorang pelatih warga tempatan berusia 50 tahun.

"Siasatan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian badan mangsa.

"Mangsa yang dibawa ke Hospital Sungai Siput telah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, keputusan bedah siasat mengesahkan, kecederaan pada mangsa adalah akibat dipukul dengan menggunakan objek tumpul.

"Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

"Orang ramai diminta tidak menularkan maklumat yang tidak sahih kepada umum atau membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya.