Abang pelakon putih mata wang pelaburan RM3.7 juta lesap

Mohd Zulhakim (dua dari kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya ketika sidang akhbar di Ayer Keroh pada Selasa.
Mohd Zulhakim (dua dari kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya ketika sidang akhbar di Ayer Keroh pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Impian seorang lelaki untuk bergelar jutawan segera musnah selepas wang keuntungan sebanyak RM3.7 juta dalam pelaburan mata wang asing tidak diterimanya.

Mangsa yang juga abang kepada seorang pelakon, Mohd Zulhakim Amry Ghazali, 37, berkata, kerugian itu merupakan angka keuntungan tertinggi yang pernah diperoleh selama hampir 10 tahun menceburi pelaburan tersebut.

Mangsa juga mendakwa dia telah melabur hampir AS$10,000 (RM45,000) dalam transaksi dagangan itu sebelum mendapati keuntungannya meningkat kepada AS$800,000 pada 19 Mac tahun lalu.

Bagaimanapun Mohd Zulhakim berkata, dia terkejut mendapati jumlah itu telah dikeluarkan pada keesokan harinya malah rekod keuntungan itu turut hilang daripada akaun dagangan miliknya.

"Ketika itu, saya sudah jangka dapat keuntungan terbesar hampir RM3.7 juta.

"Malangnya wang itu telah dikeluarkan terlebih awal dan sehingga sekarang masih tidak tidak dapat wang keuntungan yang sepatutnya saya perolehi," katanya kepada pemberita di Ayer Keroh di sini pada Selasa.

Tambah Mohd Zulhakim, apa yang mengecewakan dan terkilan kerana syarikat terbabit masih aktif sehingga ke hari ini dan bimbang lebih ramai yang akan menjadi mangsa.

Katanya, sebelum ini broker syarikat itu telus membuat bayaran keuntungan kepadanya sejak 2018 antara AS$100 hingga AS$10,000 sebelum didakwa tidak mendapat bayaran keuntungan pelaburan pada tahun lalu.

"Hampir setahun menunggu dan bersabar, saya mengambil keputusan membuat laporan polis di Balai Polis Kluang, Johor pada 4 Januari lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes itu.