27,688 rumah mampu milik di Negeri Sembilan

Kok Seong (tiga dari kiri) menyerahkan pemilikan nombor rumah diundi pembeli pada Majlis Pengundian Rumah Mampu Milik Jenis A (Quasar) Bandar Springhill, Port Dickson pada Selasa.
Kok Seong (tiga dari kiri) menyerahkan pemilikan nombor rumah diundi pembeli pada Majlis Pengundian Rumah Mampu Milik Jenis A (Quasar) Bandar Springhill, Port Dickson pada Selasa.
A
A
A

PORT DICKSON - Sebanyak 27,688 unit rumah mampu milik telah dibina di Negeri Sembilan sejak tahun 2018 sehingga Oktober tahun lalu.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan negeri, Teo Kok Seong berkata, dari jumlah berkenaan, sebanyak 8,685 unit adalah rumah jenis A iaitu berharga RM80,000 yang telah pun diluluskan kebenaran merancang.

"Ia termasuk projek-projek perumahan yang berada dalam fasa pembinaan dan juga projek-projek rumah mampu milik jenis A yang telah siap dibina.

"Di samping itu sebanyak 9,579 unit jenis B dan 9,424 unit jenis C telah diluluskan," katanya ketika berucap pada Majlis Pengundian Rumah Mampu Milik Jenis A (Quasar) Bandar Springhill di sini pada Selasa.

Menurutnya, bagi projek rumah mampu milik jenis A (Quasar), lebih 40 peratus pembinaan melibatkan jenis A dan ia selari dengan Dasar Perumahan Negeri Sembilan yang mewajibkan setiap pemaju untuk membangunkan 50 peratus rumah mampu milik.

Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak 20 peratus adalah bagi rumah mampu milik yang berharga maksimum RM80,000, 15 peratus berharga di antara RM81,000 ke RM250,000 dan baki 15 peratus adalah bagi rumah mampu milik yang berharga di antara RM251,000 sehingga RM400,000.

"Kerajaan negeri telah menerima sebanyak 1,465 permohonan bagi projek rumah mampu milik jenis A (Quasar), Bandar Springhill, Port Dickson ini.

"Daripada jumlah tersebut, hanya 120 orang pemohon melepasi syarat yang ditetapkan dan berjaya dalam tapisan yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Pejabat Tanah dan Galian," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri menerima lebih 1,000 permohonan membina rumah di bawah Program Rumah Harapan Rakyat sejak ia diperkenalkan pada tahun 2021.

Jelasnya, skim tersebut telah menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah bagi rumah bernilai RM75,000 kepada golongan B40 yang masih belum memiliki rumah dan ingin membina rumah banglo setingkat di atas bidang tanah masing-masing.

"Menerusi Inisiatif Belanjawan 2023, kerajaan negeri meneruskan inisiatif Rumah Harapan Rakyat ini dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

"Kerajaan negeri akan terus berkhidmat kepada rakyat dan dalam masa yang sama berdaya saing ke arah merealisasikan matlamat menuju negeri sejahtera, inklusif dan mampan menjelang 2045," katanya.