Banjir jejaskan persiapan calon SPM di Pahang

APM Pahang membantu membawa 16 calon SPM dan empat guru ke SMK Chong Hwa menggunakan trak berikutan laluan menuju ke sekolah itu tidak dapat dilalui oleh kenderaan ringan. - Foto APM Pahang
APM Pahang membantu membawa 16 calon SPM dan empat guru ke SMK Chong Hwa menggunakan trak berikutan laluan menuju ke sekolah itu tidak dapat dilalui oleh kenderaan ringan. - Foto APM Pahang
A
A
A

KUANTAN - Persiapan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terjejas selepas kediaman mereka dilanda banjir, pada Isnin.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasau, Khairunnisa Natasha Jefri, 18, berkata, sejurus pulang dari sekolah kira-kira 2.30 petang Isnin, dia hanya sempat mengambil pakaian seragam untuk dipakai bagi menduduki ujian bertutur Bahasa Melayu yang dijadualkan pada Khamis ini.

Bagaimanapun, anak bongsu daripada enam beradik itu melahirkan kebimbangan mengenai bahan-bahan bacaan yang digunakan untuk mengulang kaji pelajaran, rosak ditenggelami air.

"Ketika tiba di rumah, air sudah hampir paras betis dan saya hanya capai baju sekolah sepasang, buku sekolah dan ulang kaji saya tertinggal...risau semua rosak sebab dimaklumkan rumah sudah ditenggelami air paras pinggang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Fakeh Abdul Samad di sini pada Selasa.

Meskipun berdepan cabaran, Khairunnisa Natasha yang tinggal di Sri Damai Aman di sini berkata, dia akan membuat yang terbaik dalam ujian berkenaan.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, 430 mangsa daripada 119 keluarga ditempatkan di PPS itu.

Seorang lagi pelajar dari sekolah sama, Muhammad Irfan Muhammad Saiful Nizal, 18, berkata, dia sempat menyelamatkan buku rujukannya, namun tertinggal pakaian seragam sekolah.

"Saya memang tak ingat untuk ambil baju sekolah sebab fikir barang-barang lain untuk diselamatkan, sebab masa itu air sedang naik dan kami bergegas untuk berpindah ke PPS,” katanya yang menetap di Sri Damai Perdana di sini.

Bagi pelajar Kolej Vokasional Kuantan, Muhammad Aniq Irfan Rosli, 18, dia menggunakan masa yang ada untuk mengulang kaji pelajaran walaupun berada di PPS.

"Selalunya banjir sekitar bulan Disember dan Januari, jadi saya lega sebab SPM bulan Februari, tetapi tak sangka tahun ini banjir juga walaupun dah masuk Februari,” katanya yang juga menetap di Sri Damai Perdana.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang turut membantu membawa 16 calon SPM dan empat guru ke SMK Chong Hwa menggunakan trak berikutan laluan menuju ke sekolah itu tidak dapat dilalui oleh kenderaan ringan. - Bernama