X

Kindly register in order to view this article
!

NGO pertikai kilang bateri atas tanah industri sederhana

Muka depan akhbar Sinar Harian, hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Bekas Pengarah Unit Keselamatan Pekerjaan, Kesihatan dan Alam Sekitar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Maketab Mohamed mempersoalkan kewujudan sebuah kilang bateri yang dibangunkan di atas tapak digazetkan sebagai tanah industri sederhana di Jenjarom, Selangor.

Menurutnya, operasi kilang bateri di kawasan tersebut seharusnya tidak berlaku selain hairan bagaimana lesen tersebut boleh diberikan oleh Majlis Daerah Kuala Langat kepada kilang tersebut.

Pakar alam sekitar itu berkata, dalam peraturan, industri bateri perlu dibina di tanah industri berat selain turut mempersoalkan kepekaan majlis daerah yang tidak mengetahui operasi sebenar kilang tersebut yang telah beroperasi sejak 2014.

"Kilang ini dibina di dalam kawasan penempatan penduduk yang tinggi. Peraturan merancang industri berat ini mesti beroperasi di dalam kawasan industri berat sahaja yang jauh dari kawasan penduduk.

ARTIKEL BERKAITAN:

Plumbum ancam penduduk Jenjarom

Pakar beri amaran bahaya plumbum

"Malah, tapak kilang ini tidak mempunyai zon penampan 500 meter dan tidak ada zon jaluran tanaman 30 meter. Seberang jalan kilang pula adalah kawasan penempatan kampung," katanya yang juga bertindak sebagai penasihat bersama Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat dalam memperjuangkan suara penduduk Kg Jenjarom yang membantah kewujudan kilang tersebut.

Beliau berkata, kesan yang bakal terjadi kepada penduduk sekitar dalam tempoh jangka masa panjang juga membimbangkan sekiranya tidak dibendung.

"Mengikut kajian yang telah dibuat oleh penduduk kampung, kilang tersebut mengeluarkan toksin plumbum yang akan memberikan kesan kepada buah pinggang orang dewasa. Selain itu, kanak-kanak akan menerima kesan lebih teruk apabila pencemaran tersebut akan merosakkan pertumbuhan otak dan merosakkan organ dalaman.

"Semua pihak perlu melihat perkara ini dengan lebih serius. Kita tidak mahu apa yang terjadi di Sungai Kim Kim berulang berlaku di Jenjarom pula," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan lebih 6,000 penduduk Kampung Jenjarom, Kuala Langat diancam risiko kerosakan jantung, otak dan sistem saraf selain boleh membawa maut akibat terdedah kepada pencemaran logam berat plumbum.

Masalah itu dipercayai berpunca daripada sebuah kilang yang beroperasi sejak lima tahun lalu.

Lebih mengejutkan melalui satu ujian makmal terhadap 12 sampel rambut penduduk dan pekerja kilang itu mengesahkan kehadiran unsur plumbum pada sampel rambut itu.

Bacaan tertinggi ujian sampel tersebut ialah 3,190 mg/kg untuk rambut salah seorang pekerja, manakala bagi sampel rambut penduduk ialah 29.7 mg/kg.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!