Mangsa banjir di Pahang meningkat

Mangsa banjir di dua daerah di Pahang merekodkan peningkatan apabila merekodkan hampir 5,021 mangsa di 28 PPS.
Mangsa banjir di dua daerah di Pahang merekodkan peningkatan apabila merekodkan hampir 5,021 mangsa di 28 PPS.
A
A
A

KUANTAN - Jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat setakat 8.32 pagi Selasa, apabila mencatatkan 5,021 mangsa daripada 1,480 keluarga di daerah ini dan Pekan.

Berbanding pada 12 tengah malam pada Isnin, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang merekodkan 3,623 mangsa daripada 1,047 keluarga.

Jumlah itu merekodkan peningkatan 1,389 mangsa banjir yang kini berada di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah berkenaan.

Daripada 28 PPS itu, dua PPS dibuka di daerah Pekan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Terentang membabitkan 10 mangsa dan SK Mualana seramai 18 mangsa.

Sebanyak 26 lagi PPS di daerah ini antaranya, Dewan orang ramai, Kampung Sri Damai Mahkota, Dewan orang ramai Sri Damai, Dewan Dato Manan, Wisma Belia, SK Tanah Putih, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peramu Jaya,Dewan orang ramai Kampung Pandan 1, SK Fakeh Abdul Samad, Dewan Taman Tas, Dewan Wawasan Jabatan Pengairan Saliran Kemunting dan SK Pandan.

Seterusnya, Balairaya Kampung Pahang, SK Kempadang, kolej kemahiran mara, Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Jaya Gading, Dewan Melati Penjara Penor, Dewan Serbaguna Jaya Gading, SK Wira, Balairaya Sungai Soi, SK Kampung Belukar, SK Pelindung, Sk Batu 3, SK Bunut Rendang, SK Mat Kilau, Dewan Mat Kilau dan SAR KAFA Ubadiah Al Jariah Taman Guru.

Sementara itu, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan bacaan paras sungai pada tahap bahaya, amaran dan waspada.

Dua sungai menunjukkan aras bahaya iaitu Sungai Keratong di Jam Bahau, Rompin dan Sungai Belat, Sri Damai masih merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya, setakat 9 pagi, Selasa.

Sungai Keratong merekodkan bacaan 23.72 meter (m) kerana paras bahaya yang ditetapkan ialah 11m.

Enam sungai lagi pada paras amaran iaitu Sungai Tanum di Jam Chegar, Lipis, Sungai Tembeling, di Merting, Sungai Pahang di Sungai Yap, Sungai Pahang di Paloh Paku masing di Jerantut, Sungai Lepar Jambatan Gelugor dan Sungai Kuantan di Pasar Kemudi di Kuantan.

Selain itu, empat sungai iaitu Sungai Jelai di Jeti Lipis, Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut, Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran menunjukkan paras bacaan waspada.