Anwar ketepikan pertelingkahan dengan Zahid

Anwar (empat, kiri) menyampaikan ucapan pada majlis perjumpaan bersama warga JPM di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri hari ini. Foto Bernama
Anwar (empat, kiri) menyampaikan ucapan pada majlis perjumpaan bersama warga JPM di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pasukannya mengetepikan pertelingkahan lama untuk bekerjasama mengangkat konsep Malaysia Madani.

Anwar berkata, meskipun mempunyai sejarah pertelingkahan besar terutamanya dengan Timbalan Perdana Perdana, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerjasama dapat dicapai melalui kesatuan pemikiran dan tekad sama semua anggota pentadbiran.

"Saya dari segi peribadi setakat ini nampak walaupun (terdapat) latar belakang pelbagai dan sejarah pertelingkahan serta pergaduhan besar terutama Timbalan Perdana Menteri di kanan saya, tetapi Alhamdulillah tidak boleh dinafikan adalah kesatuan pemikiran dan tekad itu wujud," katanya dalam ucapan perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De' Seri Endon Puspanitapuri pada Selasa.

Beliau berkata, kejayaan yang bakal dicapai bukan hanya bersandarkan kepada tokoh politik semata-mata, sebaliknya kekuatan dan tekad baharu daripada semua kalangan penjawat awam perlu ada.

"Sebab itu setiap kali ada perjumpaan dengan penjawat awam, saya gesa kalau hendak menentukan kejayaan bukan sahaja dari tokoh politik tetapi ia mesti dengan semangat dan komitmen menyeluruh penjawat awam untuk bebaskan Malaysia Madani," katanya.

Dalam pada itu Anwar tidak berhasrat memperkenalkan slogan baharu dalam era pentadbirannya.

"Saya tidak mahu kita terpukau dengan slogan, berapa banyak yang telah digunakan," katanya.

Menurutnya, slogan Anjakan Paradigma yang diperkenalkan pemimpin sebelum ini hanya sekadar gah pada sebutan sahaja.

"Bunyi powerful, ada anjakan tetapi tidak cukup paradigma. (Jadi) Tidak cukup meyakinkan kita.

"Ada wawasan dan Islam Hadari yang saya tidak mahu pertikai," katanya.

Ujar Anwar, semua kementerian dan agensi harus bekerja untuk bebaskan rakyat dan negara dari ketelanjuran yang telah berlaku atau pun mungkin berlaku.

"Adakah dalam beberapa bulan saya melihat kejayaan? Iya, saya tidak boleh nafikan.

"Setiap arahan dan perjumpaan ada kesungguhan. Baik soal isu pekerja asing, beberapa dasar lain, menangani banjir yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri atau keputusan semalam (Isnin) untuk menghantar Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye, saya tengok ada keinginan rakan-rakan baik pimpinan dan penjawat awam mengorak langkah dengan pantas dan bertanggungjawab," katanya.