Sukarnya 'perkahwinan' tanpa restu

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) dan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi - Foto Bernama
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) dan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi - Foto Bernama
A
A
A

SUKARNYA perkahwinan tanpa mendapat restu keluarga, begitu jugalah keadaannya dengan UMNO sekarang selepas nekad ‘berkahwin’ dengan Pakatan Harapan (PH) melalui Kerajaan Perpaduan.

Walau apa jua alasan diberi, UMNO perlu menerima hakikat sehingga kini masih ramai tidak boleh menerima ‘ikatan terbina’ sama ada yang diluah secara depan-depan atau yang bersuara di kedai kopi.

Penentangan itu bukan saja berlaku dalam kalangan keluarga UMNO sendiri malah dalam kalangan pengundi yang menjadi pemerhati.

Malah tindakan UMNO yang kononnya mahu membersihkan parti yang menyaksikan 44 ahlinya dipecat dan lima digantung nampaknya terus mengundang kepada ketidakstabilan parti itu.

Tindakan itu mungkin hanya memuaskan hati sebilangan kecil pemimpin dan ahli UMNO tapi realitinya sebilangan besar yang lain mengibaratkan langkah pembersihan rumah UMNO itu sebenarnya ‘mengotorkan’ lagi parti malah boleh meruntuhkan rumah yang telah terbina sekian lama.

Misalnya, bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menjangkakan parti itu mengalami kekalahan termasuk beberapa kubu kuat parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berpendapat, tindakan UMNO melakukan pemecatan dan penggantungan terhadap kepimpinan serta ahli parti tidak akan mampu ‘membersihkan’ parti itu.

Sebaliknya, kata Annuar, tindakan yang dilakukan hanya akan menghasilkan lebih banyak ‘kotoran’ kerana punca sebenar ‘kotoran’ masih kekal berpaut dalam UMNO.

Kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang memberitahu pembersihan yang dilakukan dalam parti itu adalah pembaharuan yang dilakukan pucuk pimpinan mungkin dilihat oleh ‘orang luar’ lebih kepada jawapan untuk menyedapkan hati.

Daripada kaca mata rakyat yang jadi pemerhati, ia sebenarnya lebih kepada menjaga kerusi pemimpin tertentu dalam parti itu, tapi siapa yang mahu mengakui?

Malah kacau bilau yang berlaku dalam UMNO telah mengundang suara daripada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy yang membayangkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO sebagai ‘beban’ bukan hanya kepada parti itu, tetapi juga buat PH dan Kerajaan Perpaduan.

Perkara itu, katanya, mungkin mendatangkan kesan kepada usaha parti serta Kerajaan Perpaduan untuk menarik sokongan khususnya dalam kalangan pengundi Melayu dalam PRN akan datang.

Sekarang ini meskipun masing-masing sudah menghitung masa bila PRN di enam negeri bakal diadakan, namun sehingga kini tiada sebarang keputusan rasmi antara BN dan PH sama ada mahu bekerjasama menghadapinya atau tidak.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menafikan berlaku kesukaran dalam rundingan kerjasama politik antara gabungan PH dan BN bagi menghadapi PRN.

Katanya, parti-parti terlibat masih mempunyai tempoh yang panjang dan apabila tiba masa yang sesuai, sudah pasti keputusan berhubung perkara itu akan dimuktamadkan.

Setakat ini yang memaklumkan sudah mula mengadakan rundingan soal pembahagian kerusi ialah Selangor dan Terengganu.

Pengerusi PH Selangor yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu pimpinan PH di peringkat negeri akan mengadakan perbincangan dengan BN Selangor berhubung perkara itu, Februari ini.

PH Terengganu pula menyatakan kesudian untuk menyerahkan lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi calon BN bagi menghadapi PRN dan perbincangan mengenai kerjasama serta pengagihan kerusi secara tidak rasmi sudah diadakan.

Namun komen-komen tepi orang parti memberitahu ia sukar untuk diputuskan kerana masing-masing mengharapkan kerusi untuk ditandingi sedangkan kini semuanya perlu dikongsi.

Ia dijangka menjadi cabaran buat kesemua parti ditambah pula perbalahan soal kerusi sememangnya menjadi satu kebiasaan setiap kali menjelang pilihan raya.

Jika berbincang kerusi dalam sesama parti pun boleh jadi panas, ini pula dalam parti yang berbeza.

Ada yang kata jika mereka bersetuju sekali pun atas alasan perlu akur dengan keputusan parti.

Teorinya samalah seperti hidup bermadu, perlu dibahagi-bahagi supaya tiada yang sakit hati. Kalau si isteri memberi restu pun dek kerana sayang si suami.

* Syamilah Zulkifli adalah wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan