Tidak sangka hujan 'bawa' banjir

Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di sekitar Chendering dan Kampung Pandan ke PPS yang dibuka ekoran bencana banjir yang melanda kawasan itu pada Isnin. Gambar kecil: Mohd Shahairie
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di sekitar Chendering dan Kampung Pandan ke PPS yang dibuka ekoran bencana banjir yang melanda kawasan itu pada Isnin. Gambar kecil: Mohd Shahairie
A
A
A

KUANTAN - Hujan lebat dari tengah malam disangka hujan biasa dan akan reda menjelang pagi.

Namun sangkaan Mohd Shahairie Zakaria, 39, itu meleset apabila hujan berterusan sehingga berlaku banjir.

Katanya, air mula melimpah awal pagi dan kira-kira jam 9 pagi limpahan air mula memasuki rumahnya di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Pandan di sini.

"Ingatkan sudah masuk bulan Februari sudah tidak banjir lagi rupanya ia berlaku sehingga kami sekeluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail di Bukit Rangin di sini pada Isnin.

Mohd Shahairie bersama isteri dan empat anak antara 560 mangsa banjir yang berlindung di PPS tersebut.

Menurutnya, memandangkan air naik waktu pagi, dia dan keluarga sempat mengemas dan menyelamatkan barangan penting sebelum berpindah setelah diarah berbuat demikian.

Seorang lagi mangsa banjir dari PAKR Sungai Pandan, Nurul Farah Wahida Zainuddin, 20, berkata, bencana yang berlaku itu di luar jangkaannya.

Anggota bomba menggunakan bot untuk memindahkan mangsa banjir ke PPS yang dibuka di daerah ini pada Isnin.
Anggota bomba menggunakan bot untuk memindahkan mangsa banjir ke PPS yang dibuka di daerah ini pada Isnin.

Menurutnya, walaupun paras air memasuki ruang dalam rumah separas atas buku lali, dia dan suami, Mohd Amizul Baharuddin, 26, mengambil keputusan berpindah lebih awal selepas diarahkan kerana bimbang banjir semakin buruk memandangkan hujan lebat tidak berhenti.

"Kami empat sekeluarga termasuk bayi berusia tiga bulan datang sendiri ke PPS ini selepas menyimpan perkakas rumah di tempat lebih tinggi.

"Sekarang ini saya sendiri tidak pasti keadaan banjir di rumah kami mungkin airnya semakin tinggi," katanya.

Walaupun keadaan hujan masih berterusan jumlah mangsa banjir di daerah ini menunjukkan penurunan kepada 1,181 orang pada jam 4 petang berbanding, 1,310 orang yang dicatatkan dua jam sebelum itu.

Semua mangsa banjir ditempatkan di tujuh PPS telah dipindahkan ke enam PPS termasuk di PPS Dewan Datuk Seri Abdul Manan, Wisma Belia (300 mangsa, 92 keluarga), dewan orang ramai Taman Tas (220 mangsa, 55 keluarga), dewan orang ramai Seri Mahkota (143 mangsa, 32 keluarga) dan dewan orang ramai Sri Damai (57 mangsa,12 keluarga).

Kuantan menerima hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka hingga Selasa berdasarkan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Sehingga jam 4 petang, paras air di dua sungai di daerah ini masih mencatat bacaan melebihi paras bahaya ekoran hujan lebat berterusan sejak awal pagi.

Sungai terlibat adalah Sungai Kuantan dan Sungai Belat.

Berdasarkan data aras air sungai melalui laman sesawang rasmi Public Infobanjir, paras air Sungai Kuantan di Stesen Bukit Kenau merekodkan bacaan 21.83 meter berbanding paras bahaya 21.50 meter manakala paras Sungai Belat di Stesen Sri Damai pada bacaan 5.95 meter (paras bahaya 5 meter).

Stesen Lembing yang melebihi paras bahaya jam 10 pagi turun kepada paras amaran 35.06 meter berbanding paras bahaya 36 meter.