Guna dron, pengimejan suhu kesan Muhamad Akmal

SAR membabitkan sektor perairan di Pulau Mawar Mersing.
SAR membabitkan sektor perairan di Pulau Mawar Mersing.
A
A
A

MERSING - Usaha mengesan penuntut kejuruteraan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Muhamad Akmal Hakimi Ishak, 20 yang hilang sejak Rabu lalu dipertingkat menggunakan dron dan peralatan pengimejan suhu di beberapa lokasi sekitar Pulau Mawar.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerbangkan dron hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Jumaat manakala peralatan pengimejan suhu pada Ahad.

"Setelah SAR tidak menemui sebarang petunjuk positif, pasukan mencari dan menyelamat menggunakan peralatan pengimejan kerana mampu mengesan suhu badan sekali gus membantu menjejak sekiranya mangsa berada di pulau berkenaan.

"Bagaimanapun kami masih meneruskan pencarian membabitkan tiga sektor iaitu daratan, sungai dan perairan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Abdul Razak memberitahu misi SAR yang memasuki hari kelima pada Isnin diteruskan meskipun berdepan cabaran cuaca hujan berterusan sejak petang Ahad.

"Keluasan Pulau Mawar lebih kurang tiga kilometer (km) persegi telah selesai dimasuki berulang kali sejak hari pertama SAR.

Operasi SAR diteruskan dengan penyertaan anggota daripada pelbagai agensi bagi mengesan Muhamad Akmal di Pulau Mawar, Mersing.
Operasi SAR diteruskan dengan penyertaan anggota daripada pelbagai agensi bagi mengesan Muhamad Akmal di Pulau Mawar, Mersing.

"SAR masih lagi dilaksanakan dengan pertambahan anggota daripada 45 orang kepada 58 orang keseluruhannya dengan penggunaan dua bot Jabatan Bomba dan Penyelamat serta sebuah bot milik Pasukan Polis Marin," katanya.

Pada Khamis, Muhamad Akmal yang sedang menjalani cuti semester selama sebulan dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Taman Makmur, Kluang sejak Rabu.

Bagaimanapun, motosikal yang dinaiki pelajar berkenaan ditemui di kawasan Pulau Mawar dan dipercayai ditinggalkan bagi membolehkannya melakukan aktiviti mendaki.

Dalam pada itu, Abdul Razak memaklumkan SAR membabitkan anggota daripada PDRM Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Pejabat Daerah Mersing, Majlis Daerah Mersing, Pejabat Hutan Daerah Mersing, Badan Bukan Kerajaan (NSGO) termasuk sekumpulan Malim Gunung dari Kluang.

Usaha pencarian turut membabitkan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM.