Sila log masuk terlebih dahulu.

Biro Perundangan Bersatu lapor polis pihak sebar rakaman dalam mahkamah

Laman Facebook milik Isham Jalil yang menyiarkan prosiding mahkamah membabitkan Najib hari ini.
Laman Facebook milik Isham Jalil yang menyiarkan prosiding mahkamah membabitkan Najib hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Biro Perundangan Bersatu membuat satu laporan polis terhadap bekas Pegawai Khas Perdana Menteri, Isham Jalil kerana menyebarkan video yang menunjukkan prosiding perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak di Ibu Pejabat Daerah Kulim, Kedah hari ini.

Ahli Jawatankuasa Biro Perundangan Bersatu, Saiful Ambar Abdullah Ambar berkata, pihaknya mendapati akaun laman sosial Facebook milik Isham itu membuat hantaran bertajuk “Hari Kelima Perbicaraan Datuk Seri Najib” yang dilihat menyalahi undang-undang dan menghina mahkamah.

"Merujuk kepada posting oleh Isham Jalil di halaman FB miliknya itu dimuat naik pada hari ini yang merangkumi rakaman perbicaraan yang dipercayai transkrip rakaman mahkamah (CRT) ketika perbicaraan kes pertuduhan ke atas Najib berkenaan SRC International Sdn Bhd pada 18 April.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Pengawai Khas Najib muat naik rakaman prosiding bicara di FB

"Terdapat juga beberapa kritikan yang dibuat oleh Isham terhadap kes ini terutama sekali berkenaan kaedah bagaimana pihak pendakwaan menjalankan kes serta keterangan-keterangan saksi yang dikemukakan," katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Saiful Ambar yang merupakan seorang peguam berkata, beliau percaya bahawa tindakan Isham memuat rakaman CRT dan juga mengeluarkan beberapa kenyataan dalam FB adalah menyalahi undang-undang serta dilihat sebagai satu tindakan menghina mahkamah terutama sekali ketika perbicaraan itu sedang berlangsung.

Saiful Ambar Abdullah Ambar
Saiful Ambar Abdullah Ambar

"Malah Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan pada 1 April lalu telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa prosiding perbicaraan Najib berhubung dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak boleh disiar secara langsung.

"Saya juga percaya bahawa CRT kes ini hanyalah dibenarkan untuk dibekalkan kepada pihak-pihak dalam perbicaraan sahaja iaitu pihak pendakwaan dan juga peguambela atau pihak lain yang dibenarkan oleh mahkamah sahaja dengan bersyarat.

Artikel Berkaitan:

"Ini termasuk akujanji bahawa salinan rakaman CRT ini hanya untuk kegunaan perbicaraan kes sahaja dan tidak dibenarkan untuk diedar, disalin atau dimuat naik rakaman ini kepada apa jua bentuk sekalipun kepada mana-mana pihak sepertimana yang terdapat dalam Borang Lampiran B - Borang Permohonan Salinan Rakaman CRT," ujarnya.

Dalam pada itu, berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Isham juga dilihat seolah-olah memberikan amaran kepada pihak mahkamah sekiranya Najib didapati bersalah, maka kes itu akan menjadi satu rujukan yang amat tidak baik dan tidak adil dalam undang-undang negara berdasarkan kritikan-kritikan Isham.

"Saya menasihati Isham supaya berhenti menjadi “peguam” Najib di luar mahkamah dan membiarkan saja peguam-peguam terpelajar (learned defence counsels) yang telah dilantik oleh Najib sendiri mengendalikan kes di hadapan mahkamah yang mulia," ujar beliau yang juga Naib Ketua Bahagian Bersatu Padang Serai.