[VIDEO] Banjir: Enam keluarga 'malu' pindah kerana cuaca cerah

Keadaan rumah penduduk di Kampung Bendang Perol, Rantau Panjang yang mula dinaiki air walaupun cuaca berada dalam keadaan baik.
Keadaan rumah penduduk di Kampung Bendang Perol, Rantau Panjang yang mula dinaiki air walaupun cuaca berada dalam keadaan baik.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Enam keluarga di Kampung Bendang Perol di sini menzahirkan rasa malu untuk berpindah walaupun kediaman mereka ditenggelami banjir apabila cuaca berada dalam keadaan cerah dan baik pada Ahad.

Mereka seramai 28 orang ini merupakan mangsa banjir terawal yang akan berpindah dan terakhir meninggalkan pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To' Deh setiap kali musibah itu melanda di kawasan ini.

Mangsa banjir, Abdul Majib Ahmad, 57, berkata, dia serta tujuh lagi ahli keluarga terpaksa meredah air sedalam 0.5 meter sejauh 1 kilometer pada jam 4.30 pagi.

"Kami membuat keputusan untuk keluar ke PPS selepas melihat paras air semakin meningkat di dalam rumah.

"Walaupun cuaca cerah dan sudah dua hari tidak hujan tetapi paras air sentiasa naik. Itu yang membimbangkan kami, sehingga memilih untuk berpindah awal," katanya kepada pemberita.

Abdul Majib bersama anak dan cucunya berpindah ke PPS SK Gual To' Deh jam 4.30 pagi pada Ahad selepas Kampung Bendang Perol, Rantau Panjang dinaiki air.
Abdul Majib bersama anak dan cucunya berpindah ke PPS SK Gual To' Deh jam 4.30 pagi pada Ahad selepas Kampung Bendang Perol, Rantau Panjang dinaiki air.

Menurut dia, memikirkan perkara itu mereka merasa malu bila terpaksa berada di PPS walaupun tiada hujan lebat.

Ujarnya, melihat kepada keadaan sekarang mungkin mereka akan berada di PPS sekitar tujuh hari.

Bagi buruh, Kamarudin Setapa, 54, pula berkata, tahun lalu empat kali dia dan keluarga terpaksa berpindah.

"Paling lama kami berada di PPS ialah sebulan.

"Perkara ini berlaku disebabkan banjir termenung yang mulai melanda sejak projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok giat dijalankan," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati Kampung Tersang, Gual To'Deh, Lanchang, Padang Licin dan kawasan sekitar sudah dilimpahi air.

Sementara itu paras air Sungai Golok sudah melepasi tahap amaran iaitu 8.84 meter walaupun menunjukkan tren menurun ketika ini.