Wang KWSP RM141,000 lesap diperdaya Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik seorang wanita berjumlah RM141,000 lesap sekelip mata selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, mangsa berusia 56 tahun yang bekerja bahagian pentadbiran di sebuah syarikat swasta itu mendakwa telah dihubungi oleh individu dari sebuah syarikat insurans.

"Individu terbabit memaklumkan mangsa ada membuat tuntutan insurans namun mangsa menafikannya.

"Mangsa kemudian telah disambungkan kepada individu yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Qayyum kononnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk membuat laporan," katanya dalam kenyataan kepada media pada Ahad.

Menurutnya, mangsa telah diberitahu terlibat dengan kesalahan penggubahan wang haram dan telah diarah jangan memberitahu kepada sesiapa.

Ujarnya, mangsa kemudian telah disambungkan pula kepada pendakwa raya yang mengarahkannya membuat kad bank baharu jika mahu menyelesaikan kes.

"Pada 25 Januari lalu mangsa telah pergi ke Bank Rakyat di Seremban 2 untuk membuat kad bank baharu dan telah mengikut setiap arahan pendakwa raya tersebut termasuk mengubah nombor telefon rujukan akaun baharu kepada 014-690 8266.

"Mangsa juga telah mengeluarkan duit KWSP sebanyak RM 130,000 dan telah pindahkan ke akaun Bank Rakyat terbabit," katanya.

Bagaimanapun kata Ahmad Dzaffir, pada Sabtu mangsa telah mendapat tahu kesemua wang dalam akaun berkurangan sebanyak RM141,000 dan terdapat beberapa transaksi berlaku.