[VIDEO] Menu Rahmah di IPT bermula selepas Aidilfitri

Salahuddin (dua dari kanan) menunjukkan Menu Rahmah RM5 di Samballana Bistro Bandar Dato Onn, Johor Bahru pada Sabtu.
Salahuddin (dua dari kanan) menunjukkan Menu Rahmah RM5 di Samballana Bistro Bandar Dato Onn, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Program Menu Rahmah di institusi pengajian tinggi (IPT) dijangka dilancarkan selepas Aidilfitri pada April depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sebagai permulaan sebanyak 20 institut pengajian tinggi awam (IPTA) di sekitar Lembah Klang akan terbabit dengan program tersebut.

Menurut beliau, KPDN dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah bersetuju untuk menyelaras program Menu Rahmah di IPTA sebelum diperluaskan ke institut pengajian tinggi (IPTS), pusat kemahiran dan sebagainya.

"Saya sendiri telah menghubungi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Beliau amat bersetuju dengan program Menu Rahmah diperluaskan di IPT.

"Namun disebabkan ia membabitkan kuasa dua kementerian iaitu KPT dan KPDN perlu diperjelaskan iaitu kuasa menyediakan tempat atau premis itu di bawah kuasa KPT, manakala di peringkat sediakan menu dan bekalkan makanan itu di bawah KPDN.

"Kedua-dua pegawai tinggi dari KPT dan KPDN akan menyelaraskan program ini. Selepas siap kesemua perancangan, saya menjangkakan ia dilancarkan selepas Hari Raya Puasa bermula di 20 IPTA sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Menu Rahmah di Samballana Bistro Bandar Dato Onn di sini pada Sabtu.

Menu Rahmah di Samballana Bistro itu membabitkan hidangan 'chicken chop' bersama minuman mangga pudina berharga RM5.

Pada Jumaat, KPT dilaporkan akan melaksanakan Program Menu Rahmah di IPT dalam masa terdekat.

Mohamed Khaled berkata, pihak KPT sedang bekerjasama dengan KPDN untuk melaksanakan program berkenaan.

Pada Selasa, Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub melancarkan, inisiatif Menu Rahmah membabitkan 15,000 premis menjual makanan.

Katanya, inisiatif itu bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup.